[VIDEO] Pegawai Petronas Carigali antara 8 ditahan SPRM kes rasuah projek lebih RM2.3 bilion
14:04 Apr 09, 2022  |  By SabahKini2
[VIDEO] Pegawai Petronas Carigali antara 8 ditahan SPRM kes rasuah projek lebih RM2.3 bilion

Pegawai syarikat, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek GLC dengan nilai kontrak melebihi RM2.3 bilion.

Pegawai kanan syarikat Petronas Carigali Sdn Bhd dan pemilik syarikat antara lapan individu yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan nilai kontrak dianggarkan melebihi RM2.3 bilion.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka disyaki terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek GLC berkenaan, antara 2017 hingga 2021. 

Media semalam tidak melaporkan siapa pegawai atau CEO GLC yang ditahan namun semakan dibuat Sabahkini2 merupakan anak syarikat milik Petronas iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun itu masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

Di Putrajaya, Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap dua individu dan lima hari terhadap empat yang lain.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan permohonan reman masing-masing selama lima hari dan dua hari terhadap dua individu.

Kesemua suspek terdiri daripada ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat terbabit.

Mereka dipercayai terbabit dalam perlakuan rasuah projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara 2017 hingga 2021.

Katanya, kesemuanya ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini dan SPRM Sarawak antara jam 1.30 petang semalam hingga 12.30 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Susulan penahanan itu beberapa sitaan dilakukan antaranya 10 kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000; lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk jongkong emas, 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu.

Semalam Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Skandal rasuah di Petronas bukan perkara baru sebelum ini pun banyak isu-isu rasuah dan salah guna kuasa berlegar di Petronas serta anak syarikatnya.

Penangkapan kali ini dengan nilai RM2.3 bilion menunjukkan bahana rasuah melanda di organisasi syarikat GLC  terbesar negara itu.

 

26 Comments