Hampir 50 ahli akar umbi Warisan keluar parti
12:04 Apr 10, 2022  |  By SabahKini2
Hampir 50 ahli akar umbi Warisan keluar parti

Mantan Ketua Wira WARISAN Kg. Tambatuon, Jimmy Pangalui berkata, mereka meninggalkan WARISAN disebabkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu untuk membela nasib rakyat, terutama penduduk kampung yang jauh ketinggalan kemudahan infrastruktur

KOTA BELUD: Hampir 50 ahli akar umbi Parti Warisan Sabah (WARISAN) Kampung Tambatuon meninggalkan parti itu dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Kumpulan yang diketuai oleh bekas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang juga Mantan Ketua Wira WARISAN Kg. Tambatuon, Jimmy Pangalui menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bahagian Kadamaian Duanis Magirong.

Jimmy berkata, mereka meninggalkan WARISAN disebabkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu untuk membela nasib rakyat, terutama penduduk kampung yang jauh ketinggalan kemudahan infrastruktur.

“Saya berjuang sejak awal penubuhan WARISAN di kampung ini dan banyak berkorban masa serta wang ringgit untuk penduduk kampung dan parti di kampung.

"Tetapi saya tidak melihat apa-apa pelan yang baik dilakukan oleh pemimpin WARISAN untuk kemudahan rakyat, malah kami seolah-olah tidak dipedulikan,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penyertaan mereka ke dalam BN melalui parti PBRS kerana percaya hanya parti ini berkeupayaan membela nasib rakyat terutama di kawasan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM).

“Timbalan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup seorang pemimpin muda yang sangat berwawasan dan mempunyai hubungan baik dengan pemimpin tertinggi kerajaan.

"Saya sebagai generasi muda sangat menyokong dan percaya dia mampu membantu terutama penduduk luar bandar Sabah bagi mengatasi masalah infrastruktur kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Duanis berkata, kemasukan penyokong pembangkang terutama dari WARISAN ke dalam BN menandakan rakyat terutama dalam kalangan masyarakat KDM sudah hilang kepercayaan terhadap parti berkenaan.

“Saya percaya selepas ini semakin ramai penyokong pembangkang di kawasan Kadamaian ini akan menyertai parti PBRS,” katanya.

Comment