Sabah pasang 4,000 skrin pengiklanan LED, bantu usahawan tempatan
15:04 Apr 13, 2022  |  By SabahKini2
Sabah pasang 4,000 skrin pengiklanan LED, bantu usahawan tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif Yunus Property Consultant Sdn Bhd, Mohd Yunus Apil berkata, inisiatif itu akan dapat membantu usahawan-usahawan tempatan di Sabah mempromosikan produk menerusi pengiklanan digital.

KOTA KINABALU: Sebanyak 4,000 skrin pengiklanan LED akan dipasang di 12 buah daerah di Sabah yang dilaksanakan menerusi dua fasa dan melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yunus Property Consultant Sdn Bhd, Mohd Yunus Apil berkata, inisiatif itu akan dapat membantu usahawan-usahawan tempatan di Sabah mempromosikan produk menerusi pengiklanan digital.

Katanya, sebanyak 24 skrin pengiklanan gergasi (billboard) akan turut dipasang di 12 daerah sama yang merupakan laluan tumpuan ramai di seluruh negeri.

“Sebanyak 2,424 unit skrin pengiklanan LED akan dipasang pada fasa pertama di lima daerah iaitu Tuaran; Keningau; Putatan; Tawau dan Penampang.

Hajiji menyaksikan sesi menandatangani MoU

“Manakala sebanyak 1,576 unit lagi akan dipasang pada fasa kedua di tujuh buah daerah lain.  Bagi Kota Kinabalu, kita telah mengadakan rundingan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengenalpasti kawasan pemasangan.

“Bagi skrin pengiklanan gergasi pula, sebanyak dua unit akan dipasang di setiap daerah yang terlibat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) diantara YBS Tenaga Sdn Bhd dan PBT, semalam.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim.

Yunus berkata, proses pemasangan skrin pengiklanan LED telah mula dipasang di daerah Putatan; Penampang dan Tuaran masing-masing sebanyak 10 unit manakala di Keningau akan dipasang sebanyak 50 unit pada Jumaat ini.

“Strategi pengiklanan khususnya digital akan dapat membantu perniagaan para usahawan tempatan selain kadar pengiklanan yang dikenakan pengendali juga lebih murah dan mampu di tanggung oleh usahawan sederhana.

“Selain itu, usahawan juga akan dapat menikmati ruang lingkup pengiklanan yang lebih luas,” katanya.

Dalam pada itu, Yunus berkata, projek pengiklanan ini akan dapat merealisasikan objektif Pelan Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merupakan suatu kerangka pembangunan penting dalam mengangkat kemajuan Sabah dan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada majlis itu, sesi menandatangani Perjanjian Kerjasama (MOA) di antara YBS Tenaga Sdn Bhd dan Yunus Property Consultant Sdn Bhd dan Perjanjian Kerjasama di antara YBS Tenaga Sdn Bhd, Yunus Property Consultant Sdn Bhd dan OCK berhad. -SM

Comment