Kerajaan Pusat dan Sabah setuju Pemberian Khas kepada Negeri Sabah dinaikkan RM125.6 juta
15:04 Apr 14, 2022  |  By SabahKini2
Kerajaan Pusat dan Sabah setuju Pemberian Khas kepada Negeri Sabah dinaikkan RM125.6 juta

Pemberian khas kepada negeri Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan amaun akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026.

Kuala Lumpur – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah hari ini telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berkata Persetujuan hari ini merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan di buat adalah pada tahun 1969.

Diantara persetujuan yang bercapai dicapai hari ini ialah Amaun pemberian khas baharu kepada negeri Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan amaun akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

Menyentuh mengenai tuntutan hasil negeri Sabah pula, Ismail dan Hajiji berkata Kerajaan pusat dan Sabah akan terus berunding mengenai tuntutan 40% daripada hasil negeri Sabah.

“ Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40% daripada hasil Negeri Sabah dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan negeri Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“ Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula tahun 2022.” katanya di dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

Tambah Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah lagi Persetujuan ini adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri.

“ Kerajaan Negeri Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan.

“ Menerusi persetujuan ini juga Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut.

Menurut Ismail Sabri dan Hajiji lagi, persetujuan yang berjaya dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada Kerajaan Negeri Sabah serta keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah terhadap peranan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah.

Penghargaan kami kepada delegasi Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Menteri Kewangan Malaysia dan delegasi Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Menteri Kewangan II Sabah dalam pencapaian bersejarah ini katanya lagi.- TRI

 

 

3 Comments