Hajiji terima kunjungan hormat Duta Besar Thailand pengurusan SK Nexilis
14:04 Apr 15, 2022  |  By SabahKini2
Hajiji terima kunjungan hormat Duta Besar Thailand  pengurusan SK Nexilis

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Thailand, TYT Chainarong Keratiyutwong. Hajiji turut menerima kunjungan pengurusan atasan syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Thailand ke Malaysia, TYT Chainarong Keratiyutwong di pejabatnya di Menara Kinabalu, semalam.

Ini merupakan kunjungan pertama Chainarong ke Sabah.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalannya, Datuk Dr.Joachim Gunsalam berbincang bersama Park Woncheol dan Yi Jaehong.

Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan pengurusan atasan syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan bersama Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr.Joachim Gunsalam.

Rombongan Nexilis terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SKC Co.Ltd, Park Woncheol, CEO SK Nexilis Co.Ltd, Yi Jaehong dan CEO SK Nexilis (Malaysia) Sdn.Bhd, Shin Dong Hwan.

SK Nexilis merupakan syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan eletrik (EV), melabur sebanyak RM4.2 bilion untuk membina kilang pengeluaran pertama luar negaranya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Kilang kerajang tembaga itu kini sedang dalam pembinaan di kawasan seluas 100 ekar di KKIP, dan dijangka siap akhir tahun depan.

Kilang itu akan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah. Daripada 400 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan, 80 peratus pekerjanya akan diisi oleh anak-anak tempatan, termasuk golongan profesional.

Hajiji semasa melawat dan meninjau tapak pembinaan kilang itu di KKIP pada 17 Mac lalu berkata, SK Nexilis merupakan antara projek inisiatif pelaburan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mula menampakkan hasil di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian.

“Pelaburan SK Nexilis akan memberi impak yang positif kepada sosio ekonomi Sabah khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, logistik dan rantaian yang berkaitan”, katanya. -SM

Comment