10 pemilik syarikat mengaku bersalah kemuka penyata bank palsu masuk tender asrama
14:04 Apr 20, 2022  |  By SabahKini2
10 pemilik syarikat mengaku bersalah kemuka penyata bank palsu masuk tender asrama

Kesemua mereka berdepan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

KOTA KINABALU: Seramai 10 daripada 11 pemilik syarikat yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah kelmarin, mengaku salah terhadap 29 pertuduhan mengemukakan penyata akaun bank palsu menyertai tender membekal makanan asrama bernilai RM49 juta.

Mereka melakukan kesalahan berkenaan selepas mengemukakan penyata palsu itu kepada Jabatan Pendidikan Sabah, pada 2014 hingga 2018.

Mereka yang mengaku bersalah adalah pemilik Aspirasi Sejagat Enterprise, Melinah Minus, 29; pemilik Alhamdulillah Enterprise, Yulles @ Osman Yakin, 40; pemilik Hadirah Enterprise, Yunani Haikal, 38; pemilik Salam Rizqi Enterprise, Saliuddin Ariffin, 38; dan pemilik Tupai-tupai Enterprise, Juanis Yakin, 38.

Lima lagi ialah pemilik Pemborong Impian, Roslan Rasul, 37; pemilik Tetap Unggul Enterprise, Marudin Andawa, 32; pemilik Puncak Ilham Enterprise, Kathlenawati Siambing, 49; pemilik Fokus Genarasi Enterprise, Noryana Luciana Abdullah, 44; pemilik Pemborong Ar Rahman, Eunus Likuran, 52.

Kesemua mereka berdepan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Hakim Abu Bakar Manat yang mendengar kes berkenaan memerintahkan semua tertuduh membayar denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM145,000.

Semua 10 tertuduh terbabit membayar denda berkenaan.

Sementara itu, seorang tertuduh yang didakwa atas 50 pertuduhan mengikut seksyen yang sama mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Tertuduh, Rita Pengeran, 31, pemilik Pemborong Sinar Suria kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 dan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Keningau setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.

Secara keseluruhan, SPRM Sabah membuat 79 pertuduhan terhadap 11 pemilik syarikat terbabit kerana kesemua mereka disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi tiga bulan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pada 2014 hingga 2018.

Ia bertujuan untuk memasuki tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak asrama bagi sekolah rendah dan menengah di sekitar Sabah dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah kira-kira RM49 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapiee. 

Comment