28 pembedahan di HQE ditunda kerana bekalan elektrik terjejas
14:04 Apr 20, 2022  |  By SabahKini2
28 pembedahan di HQE ditunda kerana bekalan elektrik terjejas

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, keputusan itu dilakukan berikutan HQE masih menghadapi gangguan bekalan elektrik sejak 19 April lalu

KOTA KINABALU: Pihak Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terpaksa mengambil keputusan menunda 28 pembedahan bukan kecemasan (efektif) yang dijadualkan semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, keputusan itu dilakukan berikutan HQE masih menghadapi gangguan bekalan elektrik sejak 19 April lalu.

“Perkhidmatan dewan bedah terpaksa ditutup selama dua hari sehingga esok (hari ini) bagi memastikan bekalan elektrik yang disalurkan ke semua wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah mencukupi dan stabil.

“28 pembedahan bukan kecemasan (efektif) yang dijadualkan hari ini (semalam) ditunda manakala kes yang memerlukan pembedahan kecemasan akan dilakukan di HQE II,” katanya semalam.

Beliau berkata syarikat konsesi yang bertanggungjawab mengendalikan bekalan elektrik di HQE masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang mengalami kerosakan agar bekalan elektrik dapat disalurkan seperti sediakala.

Terdahulu, gangguan elektrik membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama di HQE kira-kira jam 11.54 pagi kelmarin menyebabkan hospital terbabit terpaksa mengambil pelan kontigensi bagi memastikan perkhidmatan rawatan di HQE tidak terjejas.

Rose Nani berkata pihak hospital terpaksa menghantar sebahagian pesakit ke HQE II termasuk kes pembedahan.

Katanya sepanjang gangguan berlaku, dua set generator yang ada di HQE digunakan untuk menampung bekalan elektrik ke bangunan terlibat.

“Pihak Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) turut memberi bantuan dua set generator mudah alih untuk kegunaan hospital selain berusaha membaiki kabel yang tidak berfungsi bersama pihak konsesi,” katanya.

Comment