Hajiji fokus beri rakyat Rumah Mesra SMJ RM70,000 guna geran khas RM125.6 juta
07:04 Apr 23, 2022  |  By SabahKini2
Hajiji fokus beri rakyat Rumah Mesra SMJ RM70,000 guna geran khas RM125.6 juta

Kerajaan negeri akan menggunakan Geran Khas Sabah sebanyak RM125.6 juta disalurkan kerajaan Persekutuan, bagi membina Rumah Mesra SMJ yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT.

Sebanyak 1,500 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bernilai kira-kira RM70,000 setiap satu akan diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang memerlukan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menggunakan Geran Khas untuk Sabah sebanyak RM125.6 juta disalurkan kerajaan Persekutuan, bagi membina Rumah Mesra SMJ itu yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT di negeri itu.

Ketua Menteri sebelum ini mengumumkan rumah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan pegawai terlibat seperti pegawai daerah, presiden majlis perbandaran dan mayor majlis bandar raya akan diminta mengenal pasti mereka yang benar-benar layak untuk menerima bantuan Rumah Mesra SMJ.

“Peruntukan ini (Geran Khas untuk Sabah) kita kena bagi balik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan, tidak punya rumah selesa jadi kita putuskan untuk bina Rumah Mesra SMJ. Setiap tahun kerajaan Persekutuan ada beri untuk bina rumah PPRT, peruntukan itu juga kita bina Rumah Mesra SMJ.

“Kita mahu membantu mereka yang susah, tidak mempunyai rumah atau ada rumah daif supaya mereka dapat merasai nikmat hidup lebih selesa…spesifikasinya mungkin kita ubah sikit daripada rumah PPRT sekarang untuk beri lebih keselesaan kepada rakyat,” katanya di Kampung Serusop

Hajiji berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri kepada 180 penerima memerlukan berupa barangan harian serta wang tunai, dan sumbangan kurma kepada 28 masjid dan 25 surau di negeri ini.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menaikkan Geran Khas untuk Sabah 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 bermula tahun ini.

Reaksi rakyat

Rakyat Sabah menyambut baik usaha Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Mohd Noor untuk membantu rakyat tidak mempunyai rumah di 73 kawasan dun di Sabah.

Bagaimanapun rakyat melihat mekanisme pemberian rumah ini benar-benar diberi kepada rakyat, peruntukan tidak diserahkan kepada ADUN tetapi dilaksanakan oleh Jabatan Ketua Menteri sendiri atau agensi yang dilantik dengan pemantauan Ketua Menteri.

Rumah PPRT dibawah KPLB Pusat dan Negeri sebelum ini mempunyai kelemahan yang sangat ketara apabila antara syarat ialah pemohon dalam senarai e-kasih yang boleh dimanipulasi oleh pegawai daerah, presiden majlis perbandaran atau PBT dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kawasan.

Rakyat tidak mahu hanya kroni atau keluarga pemimpin tertentu kawasan saja mendapat rumah sedangkan ramai rakyat miskin Sabah di setiap DUN layak mendapat perumahan ini. Dari sebuah program yang sepatutnya memberi manfaat kepada kerajaan GRS akhirnya menjadi asbab rakyat tidak berpuas hati terhadap pelaksanaan Rumah Mesra SMJ.

 

Comment