Polis cekup suspek samun dua pelajar asing
11:04 Apr 23, 2022  |  By SabahKini2
 Polis cekup suspek samun dua pelajar asing

Hasil semakan mendapati suspek berusia 32 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau

POLIS berjaya memberkas salah seorang suspek yang cuba melakukan samun dan mendatangkan kecederaan kepada dua pelajar warganegara asing di Persiaran Dutamas, malam tadi.

Suspek yang merupakan penunggang motosikal ditahan di Perumahan Rakyat Sri Aman dekat Jinjang Utara, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek seorang lelaki Melayu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

“Hasil semakan mendapati suspek berusia 32 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 26 telah didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan ketika dalam perjalanan ke pusat beli-belah Publika.

Mangsa bertindak merakamkan aksi dua lelaki terbabit sebelum suspek turun daripada motosikal lalu menghampiri dengan tujuan merampas telefon mangsa.

Malah, berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek bertindak kasar dengan memukul belakang badan mangsa dengan menggunakan dahan kayu sehingga cedera.

Tambah Eng Lai, pihaknya masih giat memburu pembonceng motosikal yang masih bebas.

Eng Lai berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 393/323 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan.

Comment