RM8.8 bilion : Petronas, SOGDC bina ZLNG terbesar Sabah
11:04 Apr 25, 2022  |  By SabahKini2
 RM8.8 bilion : Petronas, SOGDC bina ZLNG terbesar Sabah

Projek ZLNG dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM8.8 bilion itu akan ditempatkan di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Khamis untuk membina kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung pertama serta terbesar di Sabah yang dikenali sebagai ZLNG. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah dalam satu kenyataan berkata projek ZLNG dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM8.8 bilion itu akan ditempatkan di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).

"Petronas dan SOGDC akan bekerjasama dalam merealisasikan projek ini yang merangkumi sokongan serta komitmen SOGDC untuk membantu Petronas dalam mendapatkan semua kelulusan, permit dan/atau utiliti yang diperlukan sebagai pemaju SOGIP," katanya. 

MoU itu ditandatangani oleh Naib Presiden Aset LNG serta Perniagaan Gas Petronas, Abang Yusuf Abang Puteh dan Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah yang juga Pengarah SOGDC Thomas Logijin, dengan disaksikan oleh Joachim.

Joachim berkata MoU itu akan mengukuhkan kerjasama sedia ada antara Petronas serta SOGDC ke arah merealisasikan projek itu yang kini berada di bawah peringkat Kejuruteraan dan Reka Bentuk Hadapan (FEED) serta disasarkan menyelesaikan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) menjelang hujung tahun ini. 

MoU itu juga akan membuka peluang perniagaan masa depan seperti pengedaran tangki serantau dan pengisian minyak kapal serta berpotensi memberi pulangan kepada pihak yang mengambil bahagian selain mampu mengembangkan Sistem Saluran Paip Maya LNG (VPS) di Sabah.

"SOGDC sedang terlibat secara aktif dengan pemain industri tempatan serta kontraktor yang menyediakan khidmat seperti perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, kesihatan dan keselamatan, penyelenggaraan luar pesisir dan darat termasuk perkhidmatan huluan dan perkhidmatan lain yang berkaitan.

"Berdasarkan kepada penglibatan dengan kontraktor tempatan di Sabah baru-baru ini, mereka menzahirkan minat bagi menyokong SOGDC sebagai peneraju dalam membangunkan kontraktor tempatan Sabah untuk projek-projek dalam lingkungan SOGIP, yang bukan sahaja penting untuk pengembangan mereka tetapi mampu melindungi kepentingan syarikat-syarikat terbabit sambil menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian kepada pelanggan mereka," tambahnya.
 
Sebelum ini pada 7 Disember 2021 Kerajaan Negeri Sabah dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA)  dan melancarkan Pelan Induk Gas Sabah 4 April lalu. Ini membuktikan usaha Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor mengemudi Kerajaan GRS-BN dengan tepat dengan semangat Sabah Maju Jaya (SMJ)

1 Comment