(VIDEO) Sabah belasah Kedah 4-0
04:04 Apr 26, 2022  |  By SabahKini2
(VIDEO) Sabah belasah Kedah 4-0

Mohd. Amri Yahyah bantu Sabah belasah Kedah 4-0. Amri menjaringkan tiga gol bermula minit ke-51, 61 dan 71 membawa kemenangan menundukkan Kedah seterusnya merampas kedudukan kedua Liga Super

 

Penyerang berpengalaman Sabah FC, Mohd. Amri Yahyah berada dalam kelas tersendiri apabila meledak hatrik membelasah Kedah Darul Aman FC 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu

Amri membuktikan usia 41 tahun tidak menghalangnya untuk mempamerkan penyudah berkualiti dengan menjaringkan tiga gol bermula minit ke-51, 61 dan 71 untuk memastikan Sabah kembali ke landasan kemenangan.

Dalam aksi itu, Sabah yang dikendalikan Datuk Ong Kim Swee melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang skuad Helang Merah sejak dari 45 minit separuh masa pertama.

Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim cemerlang menafikan setiap percubaan Sabah tetapi malangnya penjaga gol Kedah itu tidak dapat meneruskan aksi babak kedua kerana kecederaan dan digantikan oleh Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Sabah dengan meledak dua gol pantas dalam tempoh lima minit menerusi jaringan Amri dan sepakan percuma jarak jauh daripada Park Tae Soo pada minit ke-51 dan 56.

Hasrat Kedah untuk bangkit tidak kesampaian apabila Sabah berjaya meraih gol ketiga menerusi percubaan cantik Amri pada minit ke-61 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid barisan pertahanan pelawat.

Bekas penyerang kebangsaan itu membuktikan ketajamannya apabila meledak hatrik untuk menjaringkan gol keempat Sabah menerusi satu sepakan lambung menewaskan Ilham pada minit ke-71.

Sabah berpeluang memenangi perlawanan itu dengan jaringan lebih besar tetapi sepakan penalti bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berjaya ditepis keluar Ilham di pertengahan babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Sabah merampas kedudukan kedua dengan kelebihan perbezaan jumlah gol ke atas Kedah yang jatuh ke tangga ketiga selepas enam perlawanan Liga Super setakat ini. 

Sabah selepas ini akan berehat seketika selepas aksi bertemu Selangor FC ditunda ke satu tarikh baharu, manakala Kedah yang dibimbing Aidil Sharin Sahak menanti kunjungan Melaka United pada 6 Mei.

 

3 Comments