Belia luar bandar dan rakyat terus dibela
00:02 Feb 14, 2018  |  By SabahKini2
Belia luar bandar dan rakyat terus dibela

Program Mobilepreneur@KKLW memiliki potensi yang tersendiri dari segi konsep dan pelaksanaannya kerana ia bersesuaian dengan keperluan semasa masyarakat

KOTA KINABALU, 13 Feb – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata kerajaan sentiasa berusaha dan mencari jalan untuk melakukan apa sahaja yang terbaik untuk memastikan seluruh rakyat di negara ini dapat dibela.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengabaikan rakyat, malahan kerajaan terus mempertingkat usaha untuk membantu kesemua rakyat di negara ini.

“Inilah hasrat murni kerajaan BN yang sentiasa komited untuk melihat rakyat sentiasa senang. Kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa menyediakan pelbagai kemudahan khususnya untuk membantu usahawan-usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan majlis penyerahan motosikal kepada peserta Program Usahawan Bergerak atau MobilePreneur@KKLW di sini hari ini.

Musa berkata program itu merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk melihat usahawan muda di negara ini berjaya.

“Kita dalam usaha untuk membangunkan sosioekonomi rakyat ke tahap yang lebih tinggi. Melalui program ini, para peserta dapat memajukan perniagaan mereka secara berperingkat sehingga mampu membuka kedai sendiri pada masa hadapan.

“Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan program seumpama ini dan saya yakin program Mobilepreneur@KKLW memiliki potensi yang tersendiri dari segi konsep dan pelaksanaannya kerana ia bersesuaian dengan keperluan semasa masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mobilepreneur@KKLW adalah inisiatif bagi membantu golongan belia luar bandar yang mempunyai kemahiran menjalankan perniagaan atau perkhidmatan dengan modal permulaan rendah, tanpa perlu membuka atau menyewa premis perniagaan.

Beliau berkata 291 peserta di Sabah telah dipilih untuk mengikuti program itu pada tahun ini.

“Pada hari kita akan menyerahkan motosikal kepada 136 peserta yang akan memasuki pusat Latihan dan Perundingan Felcra dan penyampaian motosikal kepada 155 peserta lagi akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata sejak Mobilepreneur@KKLW diperkenalkan pada 2016, ia telah dapat melahirkan 3,500 usahawan dan seramai 1,000 lagi peserta akan dilatih pada tahun ini dengan peruntukan RM10 juta seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018.

Ismail Sabri berharap program berkenaan dapat melahirkan ramai golongan belia yang bergiat dalam bidang keusahawanan dan seterusnya perniagaan asas itu akan menjadi batu loncatan kepada peserta untuk meluaskan perniagaan masing-masing, sekali gus membangunkan ekonomi setempat.

— BERNAMA

Comment