Isteri 'Keluarga VVIP' didakwa bunuh pembantu rumah dibenar ikat jamin RM30K
17:04 Apr 29, 2022  |  By SabahKini2
Isteri 'Keluarga VVIP' didakwa bunuh pembantu rumah dibenar ikat jamin RM30K

Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong dituduh membunuh, dibenar diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Alasan lain kerana anak sakit

Pada 28 Disember 2021 Sabahkini2 mendedahkan bagaimana pasangan suami isteri keluarga kepada VVIP di Sabah ditahan kerana didakwa membunuh pembantu rumah berusia 28 tahun selepas didera teruk di rumahnya di Lido Avenue A 3A Tingkat 8 Penampang.

[ARTIKEL BERKAITAN-Pasangan suami isteri ‘Keluarga VVIP Sabah’ dera pembantu rumah sehingga mati dibebas reman ]

Menjadi persoalan ketika itu bagaimana kesalahan jenayah Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh itu dibenarkan ikan jamin dan pendakwaan lambat daripada Peguam Negeri Sabah. Akhirnya selepas tular pada 29 Disember lalu pasangan keluarga VIP itu ditahan semula dan juga didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh.

Terbaru 26 April lalu pasangan suami keluarga VVIP itu atau isterinya yang juga bekas finalis program MasterChef Malaysia 2012, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong menghadapi pertuduhan membunuh, dibenar diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian dan Datuk M Gunalan dalam keputusan sebulat suara, membenarkan Etiqah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkannya menyerahkan pasport kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan melapor diri di Balai Polis Penampang pada hari Isnin setiap minggu.

Peguam Etiqah, Datuk Seri K Rakhbir Singh memberitahu pemberita bahawa Hakim Lee yang menyampaikan keputusan, memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan ikat jamin Etiqah dan mahkamah berpuas hati terdapat keadaan khas untuk memberikan ikat jamin.

Wanita berusia 34 tahun itu yang juga jurutera Petronas didakwa bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @Unos, 41, seorang kontraktor, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 29 Dis tahun lepas kerana membunuh pembantu rumah mereka.

Setakat ini tiada pengakuan direkodkan daripada Etiqah dan Mohammad Ambree.

Pasangan itu didakwa membunuh Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 dan 13 Dis tahun lepas.

Pada prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya 26 April lalu Rakhbir Singh memohon anak guamnya (Etiqah) dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan dengan mengatakan bahawa Etiqah sakit dan mempunyai anak kembar yang kedua-duanya autistik.

Alasan sakit

Beliau memohon Etiqah diberi ikat jamin di bawah Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan bahawa mahkamah boleh mengarahkan mana-mana orang di bawah umur 16 tahun atau mana-mana wanita atau mana-mana orang sakit yang dituduh melakukan kesalahan itu dibebaskan dengan ikat jamin.

Rakhbir Singh berkata sebelum ini Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan anak guamnya.

Menurut Rakhbir Singh kes itu masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pendakwaan.

Kes pembunuhan amah ini wajar dipercepatkan segera dengan memindahkan kes ini ke mahkamah tinggi agar tiada persepsi buruk kesalahan jenayah Seksyen 302 Kanun Keseksaan melibatkan keluarga VVIP boleh dijamin dengan pelbagai alasan tertentu.

Suami Isteri 'Keluarga VVIP' didakwa bunuh pembantu rumah

1 Comment