[SURAT PEMBACA] MARA 'Pau' Duit Usahawan Dana Prihatin Pemasaran Digital RM20,000
13:05 May 08, 2022  |  By SabahKini2
[SURAT PEMBACA] MARA 'Pau' Duit Usahawan Dana Prihatin Pemasaran Digital RM20,000

Dana di pohon RM20,000. Selepas lulus dipotong lagi RM10,000 atas alasan Bayaran Perkhidmatan Sumbangan atau 50% kos bayaran perundingan. MARA bantu usahawan atau 'Pau' Usahawan?

Ini adalah kisah benar saya sebagai seorang usahawan yang berurusan dengan Mara, dan walaupun kesnya kecil, namun sehingga kini pihak pengurusan Mara masih tidak berani berdepan dengan saya dan tidak mahu menjawab keralatan ini.

Pada bulan Mei 2020, syarikat saya terlihat iklan Mara yang menyatakan bantuan sebanyak RM20ribu boleh diberi kepada syarikat Bumiputra untuk pemasaran digital. Memandangkan syarikat saya adalah syarikat digital, lalu kami membuat keputusan untuk memohon dana ini.

Prosesnya adalah agak manual dan renyah, saya perlu ke pejabat Mara cawangan, dan ekoran itu pegawai Mara akan melawat pejabat kami di Cyberjaya, dan menerangkan proses permohonan dengan jelas.

Sikap professional pegawai pejabat Mara cawangan sememangnya sentiasa meyakinkan saya, walaupun proses permohonan yang meminta sehinggakan surat lahir Pengarah, adalah sedikit melampau untuk dana bernilai RM20ribu.

Untuk memendekkan cerita, beberapa bulan kemudian syarikat saya ditawarkan dana bantuan pemasaran digital berjumlah RM20ribu, sama seperti yang diiklankan, setelah melalui kertas kerja permohonan yang setebal sebuah tesis PhD.

 

Namun apa yang berlaku seterusnya adalah berbeza. Pada minit terakhir, pihak Mara telah menyusahkan syarikat apabila menyatakan bahawa syarikat perlu menghasilkan jumlah komitmen sebanyak RM10ribu untuk dibayar kepada Mara. Jumlah komitmen ini tidak diberi tahu ketika tawaran dimaklumkan, ianya dimaklumkan oleh pejabat Mara cawangan bagi pihak Mara negeri semasa nak ikat janji. Jumlah RM10,000 iaitu 50% daripada dana ini, diklasfikasikan sebagai Bayaran Perkhidmatan/Sumbangan oleh Syarikat.

Ketika itu, saya merasakan diperalatkan, dan bahawasanya Mara ini sebenarnya tidak ikhlas pun untuk membantu rakyat.

Bagaimanakah perasaan sebuah syarikat jika betul-betul memerlukan bantuan ketika sesak kewangan disebabkan Covid19? Jumlah komitmen tinggi yang tidak ternyata dalam iklan dana Mara, menyebabkan kebanyakan syarikat akan tidak dapat meneruskan permohonan bantuan kerana tidak mampu, atau pun tidak sangka bahawa ada jumlah besar yang secara tiba-tiba terlibat dalam proses penerimaan ini.

Pada ketika itu juga saya fikirkan kenapa yang di iklan, tidak serupa seperti apa yang ditawarkan. Mengapa Mara tidak streamline sahaja tawaran dan tidak putar belit? Betul-betul buang masa dan menganiaya rakyat.

Di sini ada keralatan yang besar, mungkin tidak diketuai pihak pengurusan atasan pihak Mara, iaitu kebiasaannya jika ada sebarang komitmen atau pun matching, ianya akan dibayar terus kepada pihak kontraktor apabila tiba masanya, dan bukan di bayar terlebih dahulu kepada pihak agensi.

Malah pihak agensi seperti Mara tidak sepatutnya memegang duit syarikat seperti ini. RM20 ribu sepatutnya diberi kepada syarikat. Syarikat saya pula diminta membayar jumlah RM10,000 kepada Mara, sebagai cagaran dan matching untuk dana yang saya pohon. Ini menyebabkan saya tawar hati untuk menggunakan bantuan ini.

Setelah beberapa bulan kemudian, gelisah dengan tiada kemajuan penggunaan dana kami, pegawai Mara menghubungi syarikat.

Pada hari 27 Ogos 2021, saya menulis surat kepada ibu pejabat Mara bertajuk Mohon Pemulangan Semula Wang Pemprosesan Dana Pemasaran Digital, lalu saya pun bercuti Merdeka, tanpa berfikir bahawa pihak ibu pejabat Mara akan kalut serta-merta kerana sedar akan kesalahan memegang duit usahawan.

 

 

 

Dengan serta-merta pihak Mara menghasilkan cek bayaran RM10,000 dan memulangnya kepada saya beserta surat makluman.

Untuk memudahkan cerita, pihak pengurusan Mara yang penuh dengan Pak Turut tidak langsung mengakui sebarang keralatan, dan sebaliknya menghukum dua orang pegawai yang tidak bersalah dalam konteks ini sebagai cara penyelesaian tanpa siasatan atau menemuramah pihak pengadu.

Bukan sahaja pegawai yang tiada kaitan dipersalahkan untuk melindungi pihak pengurusan, malah aduan kami tidak diambil kira langsung. Keralatan ini terang-terang berpunca daripada pihak pengurusan yang membuat keputusan untuk mengambil duit daripada usahawan terlebih dahulu.

Pegawai-pegawai telah dikenakan tata tertib yang akan kekal merosakkan reputasi baik mereka, dan pihak pengurusan yang tetap membuat keputusan bodoh, terus berkekalan.

Saya telah menulis dan memohon berjumpa dengan pejabat Mara Selangor berkali-kali namun ditolak. Saya juga telah menulis berkali-kali kepada Ketua Pengarah Mara, Dato’ Azhar Abdul Manaf, namun ditolak juga.

Saya juga telah menulis kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahadzir Khalid, pun tidak diambil endah, dan saya juga telah menulis kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri, pun juga tidak diambil endah. Mereka lebih mudah untuk mencuci tangan.

Maka kesimpulan disini gejala rasuah dan salahguna kuasa berleluasa di MARA. Mereka tidak benar-benar membantu usahawan bumiputera.

Bumiputra itu hanya menjadi alasan untuk pihak Mara mendapat dana daripada kerajaan persekutuan setiap tahun. Pada hakikatnya, usahawan sendiri dipermainkan oleh pihak Mara.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal Aidil Wal Faezeen saya ucapkan.

 

Syed Muhammad Faiz
Usahawan Bumiputra
Cyberjaya

 [Nota: Artikel ini merupakan surat pembaca yang telah dihantar melalui emel [email protected] - Pihak berkaitan boleh membalas ke emel ini semula jika mahu memberi maklum balas.

Jika sekiranya aduan ini mempunyai unsur rasuah atau salahguna kuasa pihak SPRM boleh menyiasat isu ini ]

 

3 Comments