USNO kini komponen GRS
21:05 May 09, 2022  |  By SabahKini2
USNO kini komponen GRS

Parti USNO telah memohon untuk menyertai GRS pada Januari 2021, satu setengah tahun sudah berlalu dan hari ini GRS telah putuskan untuk menerimanya

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju menerima permohonan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menyertai gabungan itu.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas parti USNO telah memohon menyertai GRS lebih awal daripada beberapa parti tempatan yang lain.

"Kita telah membincangkan permohonan-permohonan daripada parti-parti yang berminat untuk menyertai GRS. Jadi keputusan hari ini mesyuarat telah bersetuju menerima USNO menyertai GRS.

"Untuk makluman semua, parti USNO telah memohon untuk menyertai GRS pada Januari 2021, satu setengah tahun sudah berlalu dan hari ini kita telah putuskan untuk menerimanya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hajiji memaklumkan ada beberapa parti lain turut memohon untuk menyertai GRS antaranya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Beliau berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam pertimbangan,

"Kita juga ada menerima permohonan daripada parti-parti lain seperti KDM, LDP dan PCS. Kita amat menghargai permohonan mereka untuk menyertai GRS.

"Namun secara konsensus, kita berpendapat memerlukan sedikit masa untuk berinteraksi dan mempertingkatkan lagi persefahaman," katanya.

Beliau memaklumkan, bagaimanapun GRS akan melibatkan semua parti berkenaan dalam program atau aktiviti yang diadakan sebagai tanda penghargaan hasrat mereka untuk menyertai gabungan itu.

"Kita akan libatkan mereka dalam program atau aktiviti GRS dan akan menjemput mereka dalam majlis pelancaran GRS.

"Maknanya, kita amat menghargai keinginan mereka untuk menyertai GRS tetapi kita perlu masa sedikit kerana permohonan mereka baru disampaikan kepada saya sebulan dua yang lalu," katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa GRS akan dilancarkan secara rasmi pada 26 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Comment