Tambah pusat panggilan MERS 999 di Sabah atau kerajaan Sabah tubuh pusat panggilan kecemasan sendiri!
09:05 May 10, 2022  |  By SabahKini2
Tambah pusat panggilan MERS 999 di Sabah atau kerajaan Sabah tubuh pusat panggilan kecemasan sendiri!

Terdapat tiga pusat panggilan MERS 999 di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching Sarawak. Panggilan kecemasan 999 akan dialihkan ke salah satu daripadanya. Mengapa sangat sukar menambah satu pusat panggilan di Sabah?

Nampaknya isu Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 yang berpusat di Kuala Lumpur memberi masalah kepada rakyat Sabah tidak selesai lagi.

Kerajaan masih belum belajar susulan insiden kebakaran September 2021 mengorbankan empat sekeluarga selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Hungab, Penampang.

Begitu juga insiden terbaru membabitkan Lew Kok Fai, 54, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kolombong,  boleh diselamatkan jika tidak kerana kelewatan bantuan berikutan maklum balas perlahan daripada pusat panggilan di MERS di Semenanjung. 

Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) ialah satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk menyatukan nombor-nombor kecemasan Malaysia menjadi satu nombor pusat untuk capaian mudah, iaitu 999.

Bagaimanapun kelemahan system MERS 999 ini sangat ketara di Sabah menyebabkan kelewatan bantuan dan menyebabkan kematian.

Sebelum ini beberapa pemimpin negeri menyarankan supaya prosedur operasi standard (SOP) Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 yang berpusat di Kuala Lumpur, dikaji semula bagi mengelak kelewatan tindak balas kecemasan berikutan masalah komunikasi.


Mangsa terkorban di Penampang sebelum ini- Mangsa yang terkorban, suami isteri iaitu Matthew Wong, 50,

dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka, Brandon, 18 dan Eric, 15 tahun

 

Ketua Menteri minta SOP MERS 999 dikaji semula

Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Noor tahun lalu meluahkan rasa kecewa susulan insiden empat sekeluarga yang rentung dalam kebakaran di Taman Hungab, Penampang dan tidak berpuas hati dengan Sistem MERS 999 berfungsi di negeri ini.

Katanya sangat menyedihkan isu keselamatan dan kecemasan seperti kebakaran tidak seharusnya dirujuk ke Kuala Lumpur terlebih dulu hingga mengambil masa untuk menyelamatkan mangsa.

"Sepatutnya, apabila tahu panggilan adalah dari Sabah dan ada kecemasan, kenapa tidak terus sambung kepada pihak yang berkaitan seperti balai bomba di daerah atau negeri terbabit atau berikan nombor telefon yang boleh dihubungi.


Menteri KPKT cadang pusat panggilan/respon

Susulan kejadian itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, kelewatan anggota bomba di Sabah tiba di lokasi di Penampang itu antara lain disebabkan empat alamat berbeza diberikan oleh pemanggil.

Bercakap di Dewan Rakyat bulan September 2021, Reezal menjelaskan bomba tiba di lokasi yang salah, 4km dari situ, dan terpaksa berpatah balik untuk ke tempat sebenar kebakaran berlaku.

Menurut Reezal sistem 999 bukan di bawah kementeriannya dan beliau secara peribadi pihaknya mencadangkan pusat respons diwujudkan di Sabah dan pantai timur Semenanjung.

“Apabila laporan dibuat, dialek orang Sabah mungkin sukar difahami seseorang di Melaka,” katanya.

Kejadian di Penampang menurut siasatan  forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati kebakaran bermula lebih awal daripada panggilan kecemasan pertama yang dibuat pada 2.49. Panggilan telah diterima di Ayer Keroh, Melaka, sebelum dialihkan ke ibu pejabat bomba di Sabah.

Bayangkan panggilan diterima di Ayer Keroh, Melaka dikatakan orang Semenanjung tak faham dialek Sabah? Anda boleh terima alasan ini?

Bagaimana MERS 999 berfungsi?

Terdapat tiga pusat panggilan di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching Sarawak. Panggilan kecemasan 999 akan dialihkan ke salah satu daripadanya.

Pada peringkat awal, petugas di pusat panggilan MERS 999 telah mendapatkan empat maklumat asas iaitu nama dan nombor telefon pemanggil, jenis kecemasan serta lokasinya.

Maklumat tersebut akan disalurkan melalui Sistem Penghantaran Terbantu Komputer kepada Pusat Gerakan Operasi JBPM, Sabah dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah 



Persoalan Netizen

Mengapa panggilan kecemasan ke Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS999) di Sabah masih dialihkan kepada pihak berkuasa di Semenanjung? Jika tiga pusat panggilan di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching mengapa tidak ditambah di Sabah? alasan apa tak boleh? semua kemudahan TM pun ada di Sabah. 

Sehubungan itu, jika SOP Sistem MERS 999 ini tidak ditambah baik kerajaan Sabah digesa menubuhkan pusat panggilan kecemasan sendiri bagi menangani panggilan kecemasan serta mengelakkan kelewatan maklum balas, kekeliruan dan salah komunikasi.

MERS 999 adalah kerjasama antara Kerajaan dan Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk kemudahan rakyat. Amat mustahil kerajaan tidak boleh berunding dengan TM selaku GLC untuk menambah satu lagi pusat panggilan di Sabah selepas Sarawak. 

Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II Negeri Sabah diketuai Datuk Seri Panglima Hj Masidi Manjun mungkin boleh memikirkan Sistem Tindak Balas Kecemasan sesuai untuk negeri Sabah jika Kerajaan Pusat tidak mahu bertindak meluluskan menambah satu lagi pusat panggilan. 

Keselamatan dan nyawa rakyat perlu diutamakan.

Takkanlah begitu sukar menambah pusat panggilan. Jika Sarawak boleh mengapa Sabah tak boleh. Tambah satu pusat panggilan di Sabah semua ini selesai. Tak mungkin mengurus isu MERS 999 sama seperti meminta kerajaan pusat menunaikan MA63.

Jangan sampai lagi nyawa melayang kerana kelemahan sistem MERS 999 ini.

 

 

1 Comment