Kampung Ponontomon dilanda banjir
10:05 May 10, 2022  |  By SabahKini2
Kampung Ponontomon dilanda banjir

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom berkata, operasi pemantauan akan dilaksanakan di kawasan terlibat berikutan beberapa perkampungan dilanda banjir selepas hujan lebat kelmarin

TENOM: Hujan lebat berlarutan yang melanda sebahagian besar daerah di Sabah termasuk Tenom menyebabkan beberapa kawasan digenangi banjir kilat.

Keadaan sama turut melanda Kampung Ponontomon yang kerap kali digenangi banjir apabila hujan lebat melanda kawasan ini.

Penduduk kampung bagaimanapun mendedahkan paras air sungai berhampiran kampung agak dalam sehingga terkesan di jambatan kayu di kampung ini.

Turut terjejas kampung sekitar termasuk Kampung Inubai dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Pada.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom berkata, operasi pemantauan akan dilaksanakan di kawasan terlibat berikutan beberapa perkampungan dilanda banjir selepas hujan lebat kelmarin.

Katanya tindakan itu termasuklah menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap banjir di Kampung Batu 6, bagaimanapun maklumat penuh tidak dapat disalurkan berikutan operasi masih dijalankan.

Tambahnya sebarang maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sabah pada jam 8:45 malam 9 Mei.

Itu termasuk kawasan pedalaman iaitu Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau serta dan Tongod, Sandakan.

Amaran sama yang turut diberikan di Labuan direkodkan berlaku sehingga jam 12:00 tengah malam.

Katanya amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir arau dijangka berlaku melebihi sejam. 

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

Comment