Sabah pengeksport terbesar minyak sawit pada Mac- Uzir KP DOSM
22:05 May 10, 2022  |  By SabahKini2
Sabah pengeksport terbesar minyak sawit pada Mac- Uzir KP DOSM

Eksport minyak sawit Malaysia berjumlah RM7.5 bilion pada Mac 2022 dengan Sabah mencatatkan angka tertinggi sebanyak RM1.8 bilion (23.5 peratus), diikuti oleh Johor (RM1.7 bilion, 23.1 peratus) dan Sarawak (RM1.5 bllion, 20.3 peratus)

PUTRAJAYA: Eksport minyak sawit Malaysia berjumlah RM7.5 bilion pada Mac 2022 dengan Sabah mencatatkan angka tertinggi sebanyak RM1.8 bilion (23.5 peratus), diikuti oleh Johor (RM1.7 bilion, 23.1 peratus) dan Sarawak (RM1.5 bllion, 20.3 peratus), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Mac 2022 yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport pada Mac 2022 meningkat sebanyak RM26.6 bilion (+25.4 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya manakala import juga meningkat RM24.1 bilion (+29.9 peratus) pada bulan di bawah kajian itu.

"Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.3 peratus diikuti oleh Johor (19.8 peratus), Selangor (18.1 peratus), Sarawak (7.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.1 peratus).

"Bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 25.2 peratus diikuti oleh Pulau Pinang (22.4 peratus), Johor (19.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6.8 peratus) dan Melaka (6.3 peratus)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Uzir berkata, DOSM juga sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula 1 Januari-31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) mulai 15 April-30 September 2022.

Sehubungan itu, DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden terpilih untuk memberi maklumat dengan pegawainya dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.dosm.gov.my.

 

 

Comment