Mangsa banjir di Tenom dan Beaufort dipindahkan di 21 PPS
23:05 May 11, 2022  |  By SabahKini2
Mangsa banjir di Tenom dan Beaufort dipindahkan di 21 PPS

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan semalam memaklumkan setakat ini Tenom mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi sehingga mencecah 1,860 orang daripada 737 keluarga. Manakala, Beaufort mencatatkan 206 mangsa daripada 57 kelua

KOTA KINABALU: Seramai 2,066 mangsa banjir di Tenom dan Beaufort sedang ditempatkan di 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kedua-dua daerah terbabit.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan semalam memaklumkan setakat ini Tenom mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi sehingga mencecah 1,860 orang daripada 737 keluarga.

“Beaufort mencatatkan 206 mangsa daripada 57 keluarga bagaimanapun proses pemindahan penduduk terjejas banjir masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dalam laman sosial rasmi memaklumkan banyak kawasan di daerah ini masih terjejas banjir tambahan pula paras air Sungai Padas berada pada paras bahaya dengan kiraan 9.60 AMSL.

“Banyak jalan terputus akibat banjir dan berbahaya untuk dilalui termasuklah Jalan Kampung Binunuk dan Simpang 4 Chan Furniture manakala sejumlah lagi jalan hanya boleh dilalui kenderaan berat.

“55 buah kampung di sekitar Beaufort serta lima kampung di Membakut turut terjejas banjir.

“Orang ramai dinasihatkan untuk berjaga-jaga berkenaan kenaikan air secara mendadak dan memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya kawasan tempat tinggal dinaiki air bagi mendapatkan bantuan dan pemindahan,” katanya.

Comment