20 PATI Filipina mengaku Sabah dan menyokong Warisan dipenjara miliki IC Palsu
04:02 Feb 15, 2018  |  By SabahKini2
20 PATI Filipina mengaku Sabah dan menyokong Warisan dipenjara miliki IC Palsu

Mengejutkan ketika disiasat sebelum ini ada kalangan mereka mengaku berketurunan Sulu serta menyokong Shafie Apdal dari Parti Warisan.

JOHOR BAHRU: Seramai 20 warga Filipina dipenjara antara 2 dan 10 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mengaku salah atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

Semua mereka membuat pengakuan secara berasingan di hadapan 2 majistret, Azureen Sahira Saufee Afandi dan Noor Aisyah Ahmad, sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Azureen Sahira menjatuhkan hukuman penjara 2 bulan terhadap 4 tertuduh dan denda RM2,000 terhadap 2 tertuduh lain atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

Mereka yang didenda ialah Annora Sarikin Jamlud dan Hisham Mar manakala tertuduh yang dipenjara ialah Napisah Ajantu, Muhmin Khalit, Masna Analan dan Suraidah Mukah. Mereka sebelum ini mengaku berasal Bahagian Timur Sabah seperti Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.

Malah ada kalangan mereka ketika disiasat sebelum ini mengaku berketurunan Sulu serta menyokong Shafie Apdal dari Parti Warisan.

Sementara itu, Noor Aisyah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap 14 tertuduh atas kesalahan sama iaitu menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

Hukuman penjara ke atas semua tertuduh berkuat kuasa dari tarikh penangkapan pada 12 Februari lepas dan mereka akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.

Semua tertuduh yang terdiri daripada 13 lelaki dan 7 wanita itu, berumur antara 20 dan 42 tahun, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 12 Februari di Taman Rinting.

Mereka dituduh mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum menerusi Peraturan-peraturan sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwaan Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya Mohd Fazdhly Abdul Razak dan semua tertuduh tidak diwakili peguam.

77 Comments