Christina Liew kata dia sibuk kukuhkan parti tapi ketua cabang mahu dia disingkirkan
16:05 May 14, 2022  |  By SabahKini2
Christina Liew kata dia sibuk kukuhkan parti tapi ketua cabang mahu dia disingkirkan

Ketua-ketua cabang PKR di Sabah terus gigih untuk menyingkirkan Christina Liew sebagai Pengerusi MPN Sabah. Namun Anwar nampak masih sayang Christina dan mengekalkannya sekalipun prestasi PKR Sabah dalam PRN Sabah sangat teruk.

Sejak tahun lalu pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah tidak pernah berakhir ibarat sebuah bom jangka bila-bila meletup.

Kini desakan menggugurkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Christina Liew berlaku lagi. Christina yang terlalu pro Shafie Apdal Presiden Warisan April lalu yang menyatakan sokongan bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nampaknya ditolak oleh Ketua-ketua cabang di Sabah.

Baru-baru ini 16 pemimpin PKR negeri tampil mengadakan sidang media secara bersama bagi mendesak agar Christina ditukar dengan pemimpin baharu.

Ketua Cabang PKR Keningau, Datuk Dr. Sangkar Rasam yang mengetuai sidang media itu berkata, 16 pemimpin itu terdiri daripada ketua cabang, Pimpinan Wanita dan Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pimpinan Srikandi negeri, Ahli MPN Lantikan.

“Pertukaran ini penting bagi memastikan Keadilan di negeri ini bangkit semula.

“Pertukaran kepimpinan ini adalah untuk memperkukuhkan cabang-cabang, wanita dan AMK yang ada di negeri Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan.

Sangkar berkata, nama calon Pengerusi MPN yang baharu juga sudah dikemukakan kepada Presiden PKR.

Beliau berkata, mereka juga memberi jaminan untuk memastikan sokongan teguh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal Perdana Menteri Malaysia.

Pelantikan  Datuk Christina Liew Pengerusi MPN Sabah  adalah dibawah kuasa Presiden PKR. Sekalipun sudah beberapa kali cadangan menukar Christina nampaknya Anwar masih sayangkan Christina walaupun tahu pencapaian PKR Sabah dalam PRN Sabah baru tahun lalu sangat teruk.

Bagi Christina dia tidak pasti apakah kehendak ketua cabang dan pemimpin PKR itu memandangkan beliau menyatakan terlalu sibuk bekerja bagi memperkukuhkan kedudukan parti di Sabah.

“Saya tidak mahu kejadian di Sarawak berulang semasa PRU dan itu kerisauan saya. Maka, saya mahu memberi fokus untuk membawa PKR terus bergerak ke hadapan bagi memastikan kita mampu memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU-15. Ini keutamaan saya,” katanya.

Kedegilan Anwar Ibrahim untuk mendengar masalah kepimpinan _PKR Sarawak akhirnya mengorbankan PKR Sarawak dengan prestasi sangat memalukan. Begitu juga dalam PRN Melaka dan Johor.

Anwar nampaknya berdegil mempertahankan Christina.Tiada tanda-tanda PKR Sabah akan pulih jika diadakan PRU-15 dalam tempoh terdekat.

 

1 Comment