Kerajaan GRS-BN teruskan program PANTAS percepatkan pengeluaran tanah NT
10:05 May 15, 2022  |  By SabahKini2
Kerajaan GRS-BN teruskan program PANTAS percepatkan pengeluaran tanah NT

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited untuk terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri kerana ia menjangkau soal kehidupan orang kita tanpa mengira suku bangsa, anutan mahupun fahaman politik

TELUPID: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) meneruskan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran tanah adat negeri (NCR) di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited untuk terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri kerana ia menjangkau soal kehidupan orang kita tanpa mengira suku bangsa, anutan mahupun fahaman politik. 

"Program PANTAS yang telah dilaksanakan sejak tahun 2011, kini diteruskan oleh Kerajaan GRS-BN kerana menyedari kepentingan pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri ini, khususnya anak negeri di luar bandar, termasuk di daerah Telupid. 

"Pendekatan untuk meneruskan Program PANTAS ini juga untuk memastikan pengeluaran geran berstatus anak negeri (NT) untuk tanah NCR yang sudah lama diduduki dapat dipercepatkan bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Telupid, Pelancaran Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid (2022-2030) dan merasmikan bangunan baharu Majlis Daerah Telupid di Dewan Majlis Daerah Telupid, kelmarin.

Hajiji menyerahkan sebanyak 181 geran tanah NT melibatkan keluasan 1,294.296 ekar dan warta simpanan kampung iaitu Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Telupid Batu 4, seluas 201.336 ekar.

"Kerajaan mahu supaya proses pengeluaran geran tanah ini diperkasa dan diperhebatkan lagi tahun ini. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya mengukur tanah untuk golongan anak negeri dengan jumlah keluasan 15,511.52 hektar, dan mewartakan sebanyak 80 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Khas untuk anak negeri," tegasnya.

Menyentuh Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid 2022-2030), beliau yakin pelan pembangunan ini akan membantu memacu kemajuan dan pembangunan daerah Telupid.

Hajiji berharap buku itu akan digunakan oleh pemimpin setempat sebagai panduan dalam pembangunan daerah Telupid agar Aspirasi Daerah Telupid dapat direalisasikan demi kepentingan dan faedah rakyat di daerah ini. 

"Saya tahu, Telupid antara daerah yang masih memerlukan banyak pembangunan dan saya berharap pelan ini akan mendapat sokongan semua pihak yang berkaitan agar ia dapat dijayakan demi manfaat rakyat.

"Kerajaan GRS-BN akan memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke daerah ini yang masih ketinggalan. Kerajaan juga sentiasa menyokong dan membantu merealisasikan perancangan untuk menjayakan pelan pembangunan mana-mana daerah di negeri ini temasuk di daerah Telupid," katanya.

Menyentuh bangunan baharu Pejabat Majlis Daerah Telupid, Hajiji berharap semua usaha akan tertumpu kepada memacu pembangunan daerah berkenaan.

"Saya juga mahu melihat majlis daerah secara proaktif meningkatkan usaha mereka untuk meningkatkan hasil. Jika anda tidak melaksanakan seperti yang diamanahkan, anda akan terus menjadi liabiliti kepada kerajaan. Justeru, saya mahu semua pegawai yang dilantik memegang jawatan masing-masing memainkan peranan dalam majlis daerah yang dibentuk," tambahnya.

Hajiji berkata, Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya(SMJ) hanya akan kekal sebagai dokumen jika kita tidak menterjemah semua isi kandungannya dalam bentuk tindakan.

"Mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas itu perlu melaksanakan perancangan berkenaan.

"Setakat ini, saya gembira kerana kami telah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh satu tahun selepas melancarkan Hala Tuju SMJ dengan berjaya menarik beberapa pelaburan mega dan banyak lagi kini dalam proses pelaksanaan. 

"Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati atau leka. Kita harus sentiasa konsisten untuk mendorong kita mencapai lebih banyak lagi kejayaan demi rakyat dan negeri ini.

"Oleh itu, marilah bersama-sama saya secara progresif untuk terus melangkah ke hadapan. Marilah kita lakukan ini untuk rakyat dan Sabah yang tercinta.

"Apa yang penting, rakyat akan terus bersama kami kerana kerajaan GRS-BN adalah kerajaan yang prihatin kepada rakyat termasuk di luar bandar. Marilah kita berganding bahu untuk sama-sama membangunkan negeri ini," tegasnya.

Hajiji turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina Dewan Masyarakat Daerah Telupid yang baharu.

Comment