Isu Boikot Ayam: KP Jabatan Veteriner lembap, MAFI jadi mangsa
14:05 May 21, 2022  |  By SabahKini2
Isu Boikot Ayam:  KP Jabatan Veteriner lembap, MAFI jadi mangsa

PM, Menteri MAFI mengarahkan subsidi ayam dibayar segera kepada penternak ayam. Namun Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dato' Dr. Norlizan Bin Mohd gagal melaksanakan tugas. Penternak dah nazak kos tinggi tetapi bayaran sengaja dilewatkan

Nampaknya isu ayam semakin parah. Tindakan syarikat-syarikat penternak ayam menghentikan operasi ladang akan menjejaskan rantaian bekalan dan mengakibatkan pasaran kerugian RM26 juta.

Setakat ini empat syarikat penternak dilaporkan menghentikan operasi ladang dipercayai ‘memboikot’ tindakan lambat pihak kerajaan membayar subsidi harga ayam 60 sen.

Syarikat-syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan kartel ayam mengemukakan alasan masalah ‘ketumbuhan ayam’ bagi menghalalkan tindakan menutup operasi di ladang.

 

Setakat beberapa syarikat telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pihak mengenai tindakan berkenaan.

Rabu lalu media melaporkan sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan sehingga Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan ekoran bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

 

Jabatan Perkhidmatan Veteriner yang teruk!

Mengapakah agaknya semua masalah harga ayam sehingga bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen lambat dibayar kepada syarikat penternak ayam? Sama ada mereka penternak ayam biasa atau kartel bukan isu kerana yang pasti penternak ayam sedang berada dalam kerugian di bawah harga yang telah ditetapkan kerajaan.

Pada 28 Februari lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dilaporkan membuka permohonan subsidi untuk penternak ayam pedaging dan ayam penelur hingga 6 Jun depan membabitkan pengeluaran ayam daging dan telur yang dihasilkan bermula 5 Februari hingga 5 Jun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyegerakan pembayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen kepada penternak sebagaimana dijanjikan kerajaan sebelum ini.

10 Mei lalu kegusaran kelewatan pembayaran subsidi penternak ayam Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengarahkan kementeriannya mempermudahkan prosedur permohonan di peringkat negeri dan ibu pejabat bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.

[ARTIKEL BERKAITAN-MAFI permudah permohonan bayaran subsidi penternak ayam- Ronald Kiandee ]

Menurut Ronald prosedur permohonan dan semakan yang dilaksanakan di tiga peringkat sebelum ini dikurangkan kepada satu peringkat saja iaitu di peringkat negeri dan hanya kelulusan bayaran di peringkat ibu pejabat. Bayaran subsidi yang diluluskan dikreditkan ke dalam akaun penternak yang berjaya dalam tempoh tiga hari saja.

Itu janji Menteri MAFI tapi 'dicapati' pegawai Jabatan Perkhidmatan Veteriner

Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dikepalai Ketua Pengarahnya Dato' Dr. Norlizan Bin Mohd gagal menguruskan secara segera isu penternak ayam dan lambat membuat bayaran subsidi penternak ayam. PTD ini gagal menterjemah arahan Menterinya, kabinet dan rakyat susah.

Berulang kali Menteri MAFI mengarah selesaikan segera tapi Ketua Pengarah ini nampaknya degil dan tak membantu rakyat.

Siapa kerajaan pun tidak berguna jika ada ada pegawai PTD seperti ini. Kerajaan manapun akan hancur

Dato' Dr. Norlizan Bin Mohd yang sepatutnya bersara ogos 2021 tidak disambung kerana buktinya lihat sekarang beliau gagal melaksanakan tanggungjawab akhirnya. Apabila menghabiskan sisa perkhidmatan beliau sibuk mengumpul peluang sebelum bersara. SPRM patut menyiasat hubungannya dengan kartel atau sesiapa saja yang mengawal KP Perkhidmatan Veteriner ini.

 

Banyak isu-isu veteriner termasuk kartel gagal ditangani oleh KP. Malah lebih banyak kartel dilindungi

 

Beliau gagal membuat bayaran subsidi RM0.60 sekilogram (kg) bagi ayam pedaging dan RM0.05/biji bagi telur semua kategori membabitkan penternak persendirian, penternak 'integrator/semi-integrator' dan penternak kontrak membabitkan RM528.52 juta yang memanfaatkan 2,255 individu.

Kerana kelewatan itu penternak ayam memboikot kerajaan, tiada bekalan ayam dan harga ayam melonjak naik.

Subsidi penternak ayam setidaknya mengurangkan kos penternak tetapi Dato' Dr. Norlizan sengaja buat bodoh dan melengahkannya.  Jika berterusan banyak penternak ayam kecil-kecilan kan melingkup. 

 

Skandal Veteriner ?

Media Utusan baru- baru ini melaporkan isu kartel ayam dan mendedahkan penternak wilayah selatan memang mempunyai pengalaman berhadapan kerenah birokrasi agensi kerajaan yang seakan-akan mahu menyusahkan usaha penternak Melayu untuk membangunkan industri ternakan ayam kerana menimbulkan persaingan kepada kartel yang sudah lama bertapak di negara ini.

Laporan itu mendakwa, mempunyai maklumat mengenai pegawai yang menyukarkan usaha penternak Melayu di wilayah selatan itu, malah bersedia mendedahkan identiti dirinya sendiri dalam masa terdekat untuk memastikan usaha kerajaan memulihkan industri ternakan ayam dapat berjalan lancar.

“Kami dulu pun pernah ada pengalaman, ada agensi kerajaan tidak menerima persatuan ternakan orang Melayu tetapi lebih menerima kartel. Ini di bahagian selatan tanah air. Mereka menyukarkan permohonan lesen dan permohonan tanah rizab kerajaan untuk persatuan ternakan Melayu membangunkan ladang ternakan ayam.

“Buat masa ini, rujuk identiti saya sebagai ‘sumber’. Bagi saya selesai bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dulu, mungkin saya akan dedahkan nama saya. Bagi saya atur dengan SKM untuk bantu kerajaan memperbanyakkan lagi penternak.

“Tapi kalau kamu mahu saya bagi nama anggota agensi kerajaan yang menafikan kedudukan penternak-penternak Melayu, saya ada nama mereka dan saya boleh bagi satu per satu,” katanya kepada Utusan

Namun artikel itu kini dipadam mungkin bimbang tekanan daripada agensi Jabatan Perkhidmatan Veteriner yang mengugut mereka.

Bermakna skandal dalam Jabatan Perkhidmatan Veteriner itu wujud dan Ketua Pengarahnya sengaja tidak ambil kisah yang membuatkan rakyat lebih marah kepada kerajaan. 

Isu-isu kartel yang tercetus sekarang adalah kerana Jabatan Perkhidmatan Veteriner itu sendiri yang gagal sehingga menyebabkan Menteri dan MAFI dikecam rakyat. Selagi Dato' Dr. Norlizan melengahkan pembayaran subsidi penternakan ayam selagii itulah situasi akan lebih memburuk.

Jika tidak boleh bayar subsidi ayam mohon kerajaan jangan sekat harga ayam. Biarkan terbuka sehingga pasaran kembali stabil.

Atau jika Dato' Dr. Norlizan tidak boleh melaksanakan kerja letak jawatan sahaja dan beri peluang kepada Ketua Pengarah baru menyelesaikannya.

 

 

1 Comment