Bot tunda dipercayai karam bersama 3 kru
14:05 May 23, 2022  |  By SabahKini2
Bot tunda dipercayai karam bersama 3 kru

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot tunda terbabit dipercayai karam di kedudukan kira-kira 35 batu nautika barat laut Pulau Mantanani Kota Belud

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) giat menjalankan Operasi Carilamat bagi mengesan tiga kru sebuah bot tunda yang disyaki karam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot tunda terbabit dipercayai karam di kedudukan kira-kira 35 batu nautika barat laut Pulau Mantanani Kota Belud.

Pihaknya melalui 'Maritime Rescue Sub Centre' (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan Operasi Carilamat selepas pemilik bot tunda terbabit membuat laporan polis kira-kira jam jam 9.30 pagi semalam berkaitan kehilangan bot tundanya yang disyaki karam. 

"Tiga kru yang berada di bot tunda terbabit dikenali sebagai Lim Chung Siong, 24; Wilson Paul Joseph, 31 dan Yee Lih Min, 22 yang juga warga tempatan.

"Operasi carilamat diaktifkan kira-kira jam 11 malam semalam dengan mengatur gerak KM Bistari ke lokasi bot bagi melakukan pemantauan dan pencarian awal.

"Operasi diteruskan hari ini dengan melibatkan agensi sahabat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.

Beliau berkata, kawasan pencarian Megah Jaya 2 terbahagi kepada tiga sektor dengan keluasan 176 batu nautika.

Dalam pada itu, pihaknya menyeru orang awam yang mempunyai petunjuk berkaitan kes berkenaan untuk menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774.

Comment