Operasi SAR kesan mangsa hilang masuk hari ketiga
16:05 May 24, 2022  |  By SabahKini2
Operasi SAR kesan mangsa hilang masuk hari ketiga

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Operasi Carilamat yang memasuki hari ketiga itu dipecahkan kepada tiga sektor membabitkan keluasan 339 Batu Nautika Persegi

KOTA KINABALU: Ahli keluarga kepada salah seorang mangsa yang dilaporkan hilang di barat laut Pulau Mantanani Kota Belud mengambil inisiatif menggunakan sebuah helikopter bagi menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan berkata, keluarga mangsa memaklumkan kepada agensi terbabit bahawa sebuah helikopter persendirian akan berlepas ke lokasi seawal jam 7.30 pagi untuk turut serta dalam misi mencari tiga kru yang masih hilang.

Sementara itu Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Operasi Carilamat yang memasuki hari ketiga itu dipecahkan kepada tiga sektor membabitkan keluasan 339 Batu Nautika Persegi.

“Kita menggerakkan Kapal Maritim (KM) Bistari bagi menjalankan pencarian di Sektor B-1 manakala aset Kapal Diraja (KD) Sri Johor milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan RH 39 milik Pasukan Polis Marin (PPM) masing-masing melakukan pencarian di Sektor B-2 dan B-3.

“Helikopter milik persendirian daripada pemilik bot yang karam juga akan turut serta dalam operasi ini,” katanya.

Terdahulu tiga kru bot warga tempatan masing-masing Lim Chung Siong, 24; Wilson Paul Joseph, 31 dan Yee Lih Min, 22 dilaporkan hilang selepas bot tunda berwarna hitam dan putih dipercayai karam kira-kira 35 batu nautika barat laut Pulau Mantanani Kota Belud.

Operasi carilamat diaktifkan jam 11 malam sebaik 'Maritime Rescue Sub Centre' (MRSC) Kota Kinabalu mendapat laporan daripada pemilik bot tunda terbabit.

Comment