Palsukan dokumen UMS: Peter Anthony bersalah
10:05 May 26, 2022  |  By SabahKini2
Palsukan dokumen UMS: Peter Anthony bersalah

Hakim mahkamah sesyen Azura Alwi berkata pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini memutuskan Datuk Peter Anthony di dapati bersalah daripada pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Hakim mahkamah sesyen Azura Alwi berkata pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah.

Pihak pendakwaan kini akan meneruskan untuk mengemukakan hukuman sebelum Azura mengumumkan hukuman yang akan dikenakan terhadap Peter, 50.

Peter, selaku pemilik dan pengarah urusan Syarikat Asli Jati ketika itu, didakwa memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan kenyataan palsu dengan niat menggunakannya untuk tujuan penipuan.

Adun Melalap itu didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat setiausaha sulit utama perdana menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pada 18 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi memberi keterangan pada prosiding membela diri yang bermula pada 9 Februari lalu.

Pada 14 Disember 2021, mahkamah memerintahkan Peter, 51, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.- SM

4 Comments