MAFI akan memastikan bekalan makanan ditangani
15:05 May 27, 2022  |  By SabahKini2
MAFI akan memastikan bekalan makanan ditangani

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, beliau ingin menyeru agar lebih ramai lagi usahawan khususnya belia melibatkan diri dalam sektor agro makanan agar usaha berterusan sekuriti makanan ini dapat ditingkatkan

TELUPID: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus berusaha untuk memastikan kebimbangan Keluarga Malaysia tentang bekalan makanan ditangani secara menyeluruh menerusi usaha yang dijalankan oleh Jabatan dan Agensi di bawah MAFI.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, beliau ingin menyeru agar lebih ramai lagi usahawan khususnya belia melibatkan diri dalam sektor agro makanan agar usaha berterusan sekuriti makanan ini dapat ditingkatkan.

"Bagi usahawan-usahawan Agro di Telupid, manfaatkanlah kemudahan pembiayaan yang ditawarkan Agrobank bagi membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Antara perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna Agrobank di Telupid adalah perkhidmatan asas perbankan serta urusan pembiayaan. 

"Agrobank turut menyediakan perkhidmatan konsultasi pembiayaan kepada mana-mana  usahawan bagi membantu mereka mengembangkan lagi perniagaan," katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Agrocorner Agrobank Telupid, hari ini.
 
Beliau dimaklumkan Agrobank menawarkan pelbagai skim pembiayaan khas seperti Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’-i untuk menggalakkan lebih ramai agropreneur wanita dan Program Pembiayaan Agro Teras bagi membantu usahawan mikro yang tergolong dalam kumpulan B40 untuk mendapatkan pembiayaan kewangan khusus bagi membangunkan perniagaan berasaskan pertanian dan industri makanan.

Dalam hal ini, beliau menggalakkan agar penduduk Telupid mengambil peluang ini dan berkunjung ke Agrobank Telupid bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk-produk dan perkhidmatan yang disediakan daripada Agrobank.

"Saya yakin melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank, para usahawan Agro akan dapat meningkatkan kualiti pertanian dan mempertingkatkan produktiviti masing-masing termasuk menerusi teknologi dan inovasi pertanian.

"Pada hari ini juga, kita akan menyaksikan penyampaian surat tawaran pembiayaan yang telah diluluskan kepada pelanggan Agrobank di sekitar Telupid yang akan diberikan kepada 89 Supersave Mini Market. 

Comment