Sekuriti Makanan: Mampukah Malaysia Mencari Jalan Penyelesaian?
22:05 May 27, 2022  |  By SabahKini2
Sekuriti Makanan: Mampukah Malaysia Mencari Jalan Penyelesaian?

Akibat kenaikan harga input pertanian, ramai petani dan syarikat pertanian telah mengalami kerugian serta menutup operasi, yang akhirnya menyebabkan bekalan makanan berkurangan di pasaran.

1.  Ketika Malaysia di landa pandemik Covid-19 selama 2 tahun, ekonomi negara telah mengalami penyusutan yang ketara. Semua sektor ekonomi negara telah terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan sempadan negara yang telah di tetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Ini telah menyebabkan banyak perniagaan mengalami kerugian dan menghentikan operasi perniagaan, dan ramai kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan.

2. Apabila Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membuka kembali sempadan negara, rakyat mengharapkan ekonomi negara untuk pulih segera agar kehidupan rakyat menjadi lebih baik dan stabil. Sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini menunjukkan keinginan serta sikap optimis rakyat untuk menjalani kehidupan yang normal seperti sebelum pandemik Covid-19.

3. Namun begitu, dunia telah di kejutkan oleh peperangan yang tercetus di antara Russia dan Ukraine. Akibatnya, rantaian bekalan perdagangan antarabangsa terjejas dan harga pelbagai komoditi dunia meningkat. Russia dan Ukraine merupakan pengeluar utama dunia untuk komoditi seperti gandum, jagung dan minyak bunga matahari. Oleh yang demikian, industri sampingan yang bergantung kepada komoditi berkenaan juga terkesan, termasuklah industri bekalan makanan.

4. Malaysia juga tidak terkecuali daripada isu global ini. Harga makanan telah meningkat. Jabatan Perangkaan Malaysia telah melaporkan bahawa inflasi makanan untuk April 2022 meningkat lebih tinggi pada 1%, dengan 89.1% item makanan bagi kumpulan Makanan & Minuman telah merekodkan kenaikan. Dari satu sudut, peningkatan harga makanan berlaku kerana harga input pertanian seperti baja, racun dan makanan haiwan ternakan telah meningkat tinggi, hinggakan ada yang telah melebihi 100% peningkatan. Tambahan lagi, bekalan makanan juga terjejas, termasuklah ayam dan ikan. Media ada melaporkan bahawa pendaratan ikan terutamanya di utara Semenanjung Malaysia telah berkurangan sebanyak 70% sejak beberapa bulan yang lepas.

5. Kesan isu global ini di rasai oleh rakyat kerana Malaysia amat bergantung kepada import makanan untuk memenuhi keperluan makanan domestik. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2020, jumlah import makanan Malaysia ialah RM 55.5 billion, berbanding eksport makanan RM 33.8 billion, menyebabkan defisit perdagangan makanan yang besar (RM 21.7 billion ataupun 64% dari eksport makanan). Lebih membimbangkan ialah peningkatan yang lebih pantas import berbanding eksport telah menyebabkan defisit perdagangan produk makanan negara meningkat 24.9% berbanding tahun 2019. Mengikut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, jumlah import makanan negara terus meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun daripada RM45.3 billion pada 2015 kepada RM55.4 billion pada tahun 2020. Oleh yang demikian, kebergantungan tinggi kepada import makanan ini bermakna Malaysia akan terus terkesan dengan situasi bekalan makanan antarabangsa untuk jangka masa panjang. Penyusutan nilai Ringgit ketika ini memburukkan lagi situasi.

6. Adakah rakyat Malaysia mampu hidup selesa dengan kos sara hidup yang terus meningkat? Sudah pasti TIDAK. Majoriti rakyat Malaysia tidak mampu hidup selesa untuk jangka masa panjang memandangkan skala gaji di Malaysia masih rendah, walaupun kadar Gaji Minimum telah dinaikkan kepada RM 1,500 sebulan bermula 1 Mei 2022. Tambahan lagi, ramai yang masih tiada pekerjaan dan masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 mendapati bahawa 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 telah beralih kepada kumpulan B40 akibat kehilangan pekerjaan dan potongan gaji. Ini bermakna lebih ramai rakyat Malaysia kini tergolong di dalam kategori miskin!

7. Harga input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan haiwan telah pun mengalami peningkatan sejak pandemik Covid-19. Peperangan Russia- Ukraine telah memburukkan lagi situasi sektor pertanian di Malaysia yang sememangnya menjurus ke tahap kritikal. Sewajarnya, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah preventive awal untuk menangani isu berkenaan. Sebagai contoh - isu bekalan ayam yang kini tidak mencukupi. Kerajaan Malaysia sepatutnya telah dapat menjangka isu ini sekiranya kerajaan betul-betul prihatin dan mendengar keluhan syarikat penternakan ayam. Teori demand-supply menyatakan bahawa apabila bekalan (supply) kurang, harga akan meningkat. Justeru itu, Kerajaan Malaysia sepatutnya telah menyediakan insentif kepada pihak yang berkenaan untuk meningkatkan penternakan ayam dan seterusnya memastikan bekalan ayam di pasaran mencukupi.

8. Akibat kenaikan harga input pertanian, ramai petani dan syarikat pertanian telah mengalami kerugian serta menutup operasi, yang akhirnya menyebabkan bekalan makanan berkurangan di pasaran. Malah ramai juga para petani dan syarikat pertanian terpaksa menyerap kenaikan harga input pertanian dan menanggung kemerosotan keuntungan, agar pengguna masih boleh mendapat bekalan makanan. Tapi sampai bila? Asas perniagaan ialah untuk menjana keuntungan. Apabila perniagaan untung, maka ada peluang pekerjaan. Tambahan lagi, pelaburan baru boleh dibuat untuk mengembangkan operasi dan menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan. Namun begitu, sekiranya kos operasi perniagaan melebihi pendapatan perniagaan, sudah tentu perniagaan akan mengalami kerugian dan seterusnya terpaksa menutup operasi perniagaan sekiranya kerugian berpanjangan. Ini akan memberi kesan negatif kepada pemilik, pekerja serta ekonomi negara.

9. Secara am-nya, pertumbuhan ekonomi negara (Keluaran Dalam Negara Kasar/ Gross Domestic Product) berlandaskan kepada lima komponen, iaitu – penggunaan (consumption), pelaburan (investment), perbelanjaan awam (government spending), eksport serta import. Untuk memulihkan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19 serta menangani isu sekuriti makanan, Kerajaan Malaysia mesti bertindak pantas dengan menyediakan polisi serta pelaksanaan yang mesra pelabur, domestik dan juga luar negara. Ekonomi negara seharusnya di terajui oleh pelaburan swasta (investment) yang dapat menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat, dan tidak lagi terlalu bergantung kepada perbelanjaan awam (government spending). Kerajaan juga mesti mengurangkan penglibatan langsung di dalam perniagaan. The Government has no business in business! Tugas utama kerajaan di dalam ekonomi negara sewajarnya terhad sebagai pengawal-selia (regulator) dan facilitator (pemudah-cara).

10. Persoalan: Apakah pelan Kerajaan Malaysia untuk menangani isu sekuriti makanan negara untuk masa terdekat dan jangka masa panjang? Kebergantungan tinggi terhadap import makanan serta peningkatan import makanan setiap tahun membuktikan bahawa dasar yang lepas dan sediada telah gagal. Sehingga kini, rakyat masih kabur dan keliru dengan dasar semasa, dan gusar samada Kerajaan Malaysia ini berkelayakan untuk menyelesaikan isu ini. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pernah memegang portfolio sebagai Menteri Pertanian & Industri Asas Tani dan juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna. Justeru itu, beliau sewajarnya mempunyai pemahaman yang mendalam berkenaan isu sekuriti makanan serta harga makanan, dan menjadi harapan rakyat untuk menyelesaikannya. Kegagalan menangani isu sekuriti makanan boleh menjejaskan ketenteraman awam, seperti yang telah berlaku di beberapa negara seperti - Sri Lanka dan Pakistan. Hungry people are angry people!

 

AA

25 May 2022

 

Note: Artikel ini dihantar melalui emel

Comment