Kesepakatan bersama SBCC, SUCCC, dan KCCI bantu laksana SMJ
15:06 Jun 02, 2022  |  By SabahKini2
Kesepakatan bersama SBCC, SUCCC, dan KCCI bantu laksana SMJ

Kerjasama antara Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (SBCC), Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) dan Dewan Perniagaan & Perindustrian Kadazandusun (KCCI) boleh membantu usaha Kerajaan Negeri merealisasikan objektif dalam pelaksanaan SMJ.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kerjasama antara tiga dewan utama di Sabah menunjukkan petanda positif terhadap teras perniagaan dalam rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya pakatan antara Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (SBCC), Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) boleh melengkapkan usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan objektif dalam pelaksanaan SMJ.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan delegasi terbabit yang diketuai Presiden SBCC Datuk Hasnol Ayub bersama Presiden SUCCC Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt dan Pemangku Presiden KCCI Datuk Ladislaus Maluda di Menara Kinabalu.

Sementara itu Hasnol berkata sepanjang kunjungan itu pihaknya memberi taklimat kepada Hajiji mengenai penubuhan jawatankuasa yang terdiri daripada tiga dewan itu.

 "Sebelum ini kita mempunyai kerjasama yang kurang erat, tetapi untuk masa ini kita percaya ianya adalah masa yang sesuai untuk kita menguatkan lagi gabungan ini bagi memastikan kita merealisasikan tujuan yang ingin dicapai.

“Ini adalah perbincangan positif dengan Ketua Menteri dan kami juga memaklumkan berkenaan perancangan untuk mengadakan lawatan perniagaan ke perniagaan (B2B) ke Nusantara bagi mewujudkan rangkaian perniagaan berikutan peralihan ibu kota Indonesia ke Kalimantan,” katanya.

Tambahnya beliau berharap dengan penyatuan tiga dewan ini mampu membantu Kerajaan Negeri dalam pembangunan Sabah.

Comment