Aktiviti seleweng minyak diesel subsidi ditumpaskan KPDNHEP
15:06 Jun 03, 2022  |  By SabahKini2
Aktiviti seleweng minyak diesel subsidi ditumpaskan KPDNHEP

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, serbuan dijalankan selepas pasukan membuat risikan selama dua minggu berhubung kegiatan itu di kawasan Penampang.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya merampas 3,715 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor di Penampang 3 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Sabah Zulfamy Mat Udi berkata, serbuan dijalankan selepas pasukan membuat risikan selama dua minggu berhubung kegiatan itu di kawasan Penampang.

“Serbuan kemudiannya dijalankan di premis yang dipercayai melakukan penyelewengan diesel dilakukan pada pukul 1.40 pagi.

“Semasa serbuan dijalankan, terdapat seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di pintu hadapan stor.

“Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati kenderaan tersebut ada mengangkut lima tong jerikin yang mengandungi 165 liter minyak diesel manakala terdapat sejumlah 3,715 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki plastik di dalam stor terbabit,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan keterangan awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan. 

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP kemudian bertindak menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, tangki di dalam stor, pam elektrik, hos getah dan 3,715 liter minyak diesel dengan nilai rampasan RM60,487.75.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen. 

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Menurutnya Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat yang disabitkan pula kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. 

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pengusaha stesen minyak agar tidak menjual diesel bersubsidi dan RON 95 kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP. 

“Siasatan dan tindakan mengikut subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pelanggaran subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 selaku Peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal akan diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan petrol RON95 dan minyak diesel di Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

1 Comment