KPDNHEP rampas 7,633 kg minyak masak bersubsidi
14:06 Jun 08, 2022  |  By SabahKini2
KPDNHEP rampas 7,633 kg minyak masak bersubsidi

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, hasil serbuan menemukan sebanyak 449 kotak minyak masak bersamaan 7,633 kilogram.

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) rampas 7,633 kilogram minyak masak bersubsidi dalam satu operasi, di Jalan Gereja, Batu Sembilan, Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, pasukannya menjalankan serbuan terhadap sebuah gudang pada jam 4.40 petang selepas risikan selama seminggu.

Katanya, hasil serbuan, pasukannya menahan lima lelaki berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti menyeleweng barang kawalan tersebut.

“Pasukan serbuan menemukan sebanyak 449 kotak minyak masak bersamaan 7,633 kilogram yang disembunyikan di dalam sebuah stor.

“Turut ditemukan peralatan dipercayai untuk aktiviti menyeleweng minyak masak, lori, mesin pam dan gegelung hos,” katanya semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis tersebut tidak mempunyai kebenaran atau lesen sah untuk menyimpan barang kawalan tersebut.

“Semua barang kawalan yang dianggarkan bernilai RM50,282.50 dan lori berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Azdy berkata KPDNHEP Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan minyak masak paket.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan diminta melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Comment