Pesuruhjaya Tinggi India sahkan Ahli BJP Nupur Sharma, Naveen Kumar Jindal ditahan hina Nabi Muhammad
11:06 Jun 09, 2022  |  By SabahKini2
Pesuruhjaya Tinggi India sahkan Ahli BJP Nupur  Sharma,  Naveen Kumar Jindal ditahan hina Nabi Muhammad

Pesuruhjaya tinggi India mengesahkan kerajaannya sudah menahan individu yang terlibat kerana menghina Nabi Muhammad. Tindakan tegas sudah diambil oleh pihak berwajib terhadap mereka

Pesuruhjaya tinggi India mengesahkan kerajaannya sudah menahan individu yang terlibat kerana menghina Nabi Muhammad.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan wakil India itu dipanggil oleh Kementerian Luar, semalam, berhubung kejadian berkenaan.

“Pesuruhjaya tinggi menegaskan ciapan dan kenyataan menyinggung itu sama sekali tidak mewakili pandangan kerajaan India.

“Tindakan tegas sudah diambil oleh pihak berwajib terhadap mereka yang membuat ciapan dan kenyataan penghinaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua ahli politik daripada Parti Bharatiya Janata (BJP) Nupur  Sharma and Naveen Kumar Jindal didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Islam dan nabinya sama ada sudah digantung atau disingkirkan.

Kerajaan India berdepan tindak balas keras daripada dunia Islam, termasuk daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain, Turki dan Malaysia

Qatar juga menuntut permohonan maaf daripada kerajaan India berhubung kenyataan terbabit.

Jawatankuasa Parlimen Iraq dalam kenyataan menyebut, penghinaan anti-Islam “mengundang kesan serius dan sekiranya tidak dikawal, ia mungkin membawa akibat buruk yang tidak dapat dibayangkan ke atas kewujudan bersama secara aman, serta dibimbangi meningkatkan persengketaan dan ketegangan antara rakyat”.

Kuwait, Qatar, Iran, Arab Saudi dan Pakistan adalah antara negara terawal mengemukakan bantahan rasmi terhadap kenyataan provokatif itu.

Timbul juga desakan dalam kalangan negara kaya di rantau Teluk Arab supaya memboikot produk keluaran India.

7 Jun lalu Malaysia dan Indonesia mengutuk kenyataan dikeluarkan dua ahli politik India yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Kementerian Luar masing-masing memanggil Pesuruhjaya Tinggi India bagi menyampaikan sangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan berkenaan.

 

Comment