Sindiket seludup barang kawalan berjaya ditumpaskan PPM
17:06 Jun 09, 2022  |  By SabahKini2
Sindiket seludup barang kawalan berjaya ditumpaskan PPM

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintenden Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan berjaya menemukan 101 kotak berisi 17 paket minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM6,060 disyaki cuba diseludup keluar.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan sindiket penyeludupan barang kawalan menerusi satu serbuan di sebuah rumah atas air, di Kampung Batu 4 Jalan Apas, semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintenden Ridzauddin Selamat berkata, serbuan itu dibuat berdasarkan maklumat risikan yang dibuat oleh Unit Risikan Marin (URM).

Katanya, semasa serbuan dilakukan terdapat seorang lelaki berumur 25 tahun di rumah berkenaan dipercayai dalang aktiviti penyeludupan barang kawalan keluar negara.

“Hasil pemeriksaan, berjaya menemukan 101 kotak berisi 17 paket minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM6,060 disyaki cuba diseludup keluar.

“Kita percaya rumah berkenaan dijadikan stor menyimpan barang kawalan sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dan semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ridzauddin berkata PPM terus komited menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan negara khususnya di daerah Tawau bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara secara haram,” katanya.

Comment