4 warga asing cuba seludup barang kawalan diberkas
13:06 Jun 13, 2022  |  By SabahKini2
4 warga asing cuba seludup barang kawalan diberkas

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintenden Rusdin Banin berkata, hasil pemeriksaan menemukan beberapa barang kawalan bersubsidi tanpa sebarang permit yang sah di dalam ruangan kargo bot.

SANDAKAN: Empat lelaki warga asing ditahan selepas disyaki cuba menyeludup barang kawalan ke luar negara, di kawasan laut Semawang, semalam.

Semua lelaki terbabit ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) selepas bot yang mereka naiki dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintenden Rusdin Banin berkata, anggotanya segera memintas dan menahan bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati empat lelaki warga asing dipercayai juragan serta anak bot berumur 21 hingga 27 tahun berada di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa barang kawalan bersubsidi tanpa sebarang permit yang sah di dalam ruangan kargo bot berkenaan.

“Juragan bot terbabit juga mengaku secara lisan bahawa semua barang kawalan berkenaan mahu dibawa ke sebuah pulau di negara jiran,” katanya.

Menurutnya, semua barang rampasan termasuk bot yang dianggarkan bernilai RM84,280 tersebut dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek pula ditahan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Comment