GST lebih efektif berbanding SST
13:06 Jun 14, 2022  |  By SabahKini2
GST lebih efektif berbanding SST

Menurut ahli ekonomi utama Kumpulan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi berkata, GST merupakan sistem yang regresif kerana ia berasaskan cukai terhadap penggunaan & 60% daripada ekonomi bergantung kepada penggunaan. Analisis awal menunjukkan GST menawarkan hampi

KOTA KINABALU: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berikutan GST meluaskan asas cukai negara dan menawarkan lebih banyak hasil, kata ahli ekonomi utama Kumpulan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi.

Beliau berkata lebih 170 negara di seluruh dunia telah melaksanakan beberapa cukai nilai tambah (VAT) atau sistem GST, dan ia antara faktor mengapa GST adalah lebih berkesan berbanding SST.

"GST merupakan sistem yang regresif kerana ia berasaskan cukai terhadap penggunaan dan 60 peratus daripada ekonomi adalah bergantung kepada penggunaan.

"Analisis awal menunjukkan GST menawarkan hampir dua kali ganda perolehan cukai (berbanding) SST. Ia juga merupakan bil sendiri memandangkan perniagaan perlu mengeluarkan invois untuk menuntut bayaran balik," katanya pada sidang media secara dalam talian.

Sidang media itu diadakan bersempena pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia bertajuk 'Catching Up: Inclusive Recovery and Growth for Lagging States' yang dijadualkan pada 16 Jun ini di Kota Kinabalu.

Turut hadir pada sesi sidang media itu ialah Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.

Apurva berkata GST juga mempunyai kelemahan, antaranya isi rumah berpendapatan lebih rendah membuat penggunaan yang lebih banyak berbanding isi rumah biasa, yang akan menjejaskan mereka sekiranya sistem cukai regresif berdasarkan penggunaan seperti GST, dilaksanakan.

"Beberapa negara menggunakan pengecualian cukai untuk menangani GST yang regresif, namun, kami berpandangan, pengecualian cukai mungkin bukanlah pilihan yang terbaik.

"Sebaliknya, kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan sasaran kepada mereka yang terkesan," katanya.

Sementara itu, laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Bank Dunia hari ini menyatakan bahawa ekonomi Malaysia diunjur berkembang sebanyak 5.5 peratus pada 2022, dipacu terutamanya oleh pemulihan kukuh dalam penggunaan.

Bank Dunia turut mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2023 dan 4.4 peratus pada 2024.

Katanya pemulihan ekonomi negara dijangka berterusan tahun ini berikutan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5 peratus pada suku pertama 2022.

Menurut bank itu, sekatan pergerakan yang ditamatkan sepenuhnya dan pembukaan semula ekonomi akan menempatkan semula Malaysia kepada laluan pemulihan yang lebih cepat, manakala konsolidasi fiskal bagi menyokong pemulihan inklusif di seluruh negara perlu menjadi keutamaan, namun perlu dilaksanakan secara berperingkat.

"Berikutan pemulihan menjadi lebih kukuh, dasar fiskal perlu menumpukan kembali untuk menangani impak fiskal krisis COVID-19 melalui peningkatan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan yang lebih besar.

"Selain membina semula penampan fiskal, peluang pertumbuhan baharu boleh dimanfaatkan dalam dunia pasca pandemik," menurut laporan itu.

Menurut Bank Dunia, dalam jangka pendek, dasar fiskal perlu mmberi tumpuan untuk mengekalkan sokongan kewangan kepada golongan miskin dan rentan dan mewujudkan rangka kerja perlindungan sosial yang lebih inklusif dengan sasaran yang lebih baik.

Pelbagai program bantuan tunai oleh kerajaan pada sepanjang pandemik telah menyediakan sokongan penting kepada isi rumah, dan perbelanjaan fiskal yang lebih tinggi disebabkan pandemik telah banyak membantu ekonomi, yang turut mendorong untuk mengecilkan lagi ruang fiskal, kata Bank Dunia.

"Usaha untuk membina semula penampan fiskal melalui peningkatan kutipan perolehan dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan perlu kekal menjadi dasar yang menjadi keutamaan kerana pemulihan ekonomi masih lagi pada peringkat awal, penyatuan fiskal jangka sederhana perlu ditangani secara beransur.

"Melalui sistem sokongan kerajaan yang tepat dan langkah-langkah fiskal yang berhemah, ekonomi Malaysia boleh berkembang melebihi tahap sebelum pandemik, ke arah mencapai matlamat pembangunan jangka panjang yang penting," menurut Bank Dunia.

1 Comment