4 premis diserbu KPDNHEP, RM 24,760.40 barangan tiruan disita
15:06 Jun 15, 2022  |  By SabahKini2
4 premis diserbu KPDNHEP, RM 24,760.40 barangan tiruan disita

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, serbuan pada 13 Jun lalu itu membabitkan sitaan barangan yang dianggarkan bernilai RM24,760.40 dalam serbuan 4 buah premis perniagaan di sekitar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah berjaya menyita 1,355 barangan aksesori wanita dan wangian membabitkan jenama terkemuka dunia dalam serbuan empat buah premis perniagaan sekitar sini.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, serbuan pada 13 Jun lalu itu membabitkan sitaan barangan yang dianggarkan bernilai RM24,760.40.

“Bertindak dengan aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar terbabit, kita menjalankan serbuan di empat buah premis sekitar pusat bandar yang dilaksanakan oleh empat pasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sabah termasuk 25 orang anggota.

“Hasil serbuan mendapati kesemua empat pemilik premis perniagaan terbabit dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

“Kes akan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya semalam.

Tambahnya sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barangan.

“Kes ini adalah kejayaan kedua yang dihasilkan oleh KPDNHEP Sabah tahun ini selepas rampasan 437 barangan aksesori wanita yang terdiri daripada beg tangan, beg sandang, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, topi dan gelang jenama sama yang dipercayai tiruan.

“Serbuan di ibu negeri dan Penampang pada 8 hingga 9 Mac lalu itu juga membabitkan rampasan bernilai RM10,573.30 dan kes turut diambil tindakan mengikut Akta Cap Dagang 2019,” katanya.

Beliau berkata kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

“Peniaga juga diingatkan agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan. 

“Kita juga menasihatkan pengguna supaya tidak menyokong penjualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.

Comment