Muafakat Jadikan BN Terus Relevan - Salleh
03:02 Feb 17, 2018  |  By SabahKini2
Muafakat Jadikan BN Terus Relevan - Salleh

Apakah formula kejayaan Malaysia? Pertama, BN bukanlah hanya sekadar gabungan parti politik yang mewakili pelbagai etnik...

KOTA BELUD, 16 Feb- Permuafakatan terpimpin yang menjadi teras kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara sejak merdeka menjadikan BN terus kukuh dan relevan hingga ke hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya walaupun ada beberapa negara di dunia seperti Belanda dan Ireland Utara (antara Protestan dan Katolik), Belgium (antara orang Walloon berbahasa Perancis dengan Flemish berbahasa Belanda), Lubnan (antara puak Syiah, Sunni dan Kristian Maronit), Bosnia Herzegovina (antara orang Islam, Croat dan Serb), dan Macedonia (antara keturunan Slav dan Albania) turut mengamalkan politik permuafakatan namun mereka tidak mampu menandingi permuafakatan politik jitu diamalkan BN.

"Namun, tiada satu pun negara tersebut yang dapat menandingi rekod kejayaan politik permuafakatan BN, sedangkan struktur sosial masyarakat Malaysia jauh lebih rencam berbanding negara-negara di atas.

"Apakah formula kejayaan Malaysia? Pertama, BN bukanlah hanya sekadar gabungan parti politik yang mewakili pelbagai etnik, tetapi juga sebuah muafakat politik bersifat holistik dan integratif, yakni merentas ras dan tidak terbatas di Semenanjung sahaja, tetapi di seluruh wilayah Malaysia," katanya.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN Kota Belud di Dewan Terbuka Datuk Haji Jamli di sini, hari ini. Semua ketua parti komponen BN Kota Belud menghadiri majlis berkenaan.

Menurut Salleh permuafakatan politik yang diamalkan BN juga menggalakkan penyertaan aktif akar umbi, tidak hanya terbatas kepada kerjasama elit sahaja.

Beliau berkata kekukuhan permuafakatan BN adalah terletak pada parti terajunya iaitu UMNO yang telah berjaya membina kerjasama kukuh dengan semua parti komponennya.

"Kejayaan BN yang diterajui UMNO ini menyebabkan parti pembangkang cuba memplagiat formula ini, namun ternyata kesemuanya tidak mampu bertahan sepertimana berkuburnya Angkatan Perpaduan Ummah (APU) Gagasan Rakyat, dan Pakatan Rakyat (PR).

"Mengapa? Pertama, pakatan pembangkang hanya tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain kerana mereka mempunyai ideologi politik yang terlalu berbeza. Kedua, pakatan pembangkang bergantung kepada personaliti seorang pemimpin sahaja. Misalnya, APU bergantung kepada Tengku Razaleigh Hamzah, PR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kini Pakatan Harapan (PH) bergantung pula kepada Tun (Dr) Mahathir (Mohamad). Ketiga, pakatan pembangkang tidak mempunyai sebuah parti dominan yang memimpinnya sepertimana UMNO memimpin BN," tegasnya.

Justeru, Salleh berkata hanya BN satu-satunya pakatan politik yang jitu permuafakatannya.

Katanya permuafakatan BN di era pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah yang paling baik ekoran kehebatan beliau sebagai seorang pemimpin transformatif multikulturalis.

"Pendekatan kepimpinan Najib berkenaan telah membolehkan UMNO dan BN mendapat sokongan setiap lapisan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, pengundi tua dan muda, pengundi bandar dan luar bandar, penjawat awam dan pekerja swasta, rakyat Sabah dan Sarawak.

"Permuafakatan holistik dan integratif, serta permuafakatan terpimpin bakal membawa BN menang selesa dalam PRU14," tegas Salleh.

-- BERNAMA



Comment