Kapal tangki bawa diesel tanpa kebenaran ditahan Maritim Malaysia
15:06 Jun 17, 2022  |  By SabahKini2
Kapal tangki bawa diesel tanpa kebenaran ditahan Maritim Malaysia

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, hasil penahanan menemukan 170,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai kira-kira RM 900,000 yang tidak diisytiharkan & tiada dokumentasi yang sah.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan berjaya menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai membawa diesel tanpa kebenaran dalam satu operasi khas di perairan Teluk Sepanggar semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penahanan dijalankan pada jam 2 petang selepas pergerakan kapal tangki itu dikesan bot ronda Maritim Malaysia.

“Sebaik ditahan pasukan kita menjalankan pemeriksaan sebelum mendapati kapal tangki terbabit dikendalikan empat kru termasuk nakhoda yang berumur lingkungan 24 hingga 72 tahun.

“Pemeriksaan lanjut terhadap muatan di dalam kapal itu kemudiannya menemukan 170,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai kira-kira RM 900,000 yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi yang sah. 

“Hasil pemeriksaan terhadap sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal juga mendapati ianya sengaja dimatikan dan menimbulkan kecurigaan kepada pasukan menggeledah,” katanya semalam.

Tambahnya hasil pemeriksaan dokumentasi turut menemui pelbagai kesalahan lain seperti pertukaran butiran syarikat tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal.

“Kapal juga didapati beroperasi tanpa kru yang lengkap seperti di dalam Daftar Keselamatan Kapal (Safe Manning-Ship Personal), nakhoda kapal, ketua jurutera dan kru kapal tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya, serta peralatan keselamatan tidak mencukupi.

“Kapal dan kru seterusnya ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Comment