Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB
09:06 Jun 18, 2022  |  By SabahKini2
Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB

Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB. Beliau berharap pihak pendakwaan dapat memperjelaskan dakwaan terbabit, selain turut menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh SPRM

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, menafikan menerima sogokan berjumlah RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara Jun dan Ogos 2018.

Muhyiddin berkata, keterangan yang diberi oleh bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David Tan, yang juga saksi dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini, adalah palsu.

Tegasnya, beliau sama sekali tidak pernah menerima secara langsung atau tidak wang daripada Tan, pengarah mahupun pemegang saham syarikat berkenaan.

“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.

“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tohmahan ini. Pernyataan ini adalah palsu, saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak pendakwaan dapat memperjelaskan dakwaan terbabit, selain turut menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.”

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pada tarikh tertentu dinyatakan saksi berkenaan, beliau ketika itu sedang menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

“Saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara, tugas saya sebagai menteri dalam negeri diambil alih oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika itu.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya.

Dakwaan tersebut timbul selepas Tan dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi, menyatakan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal ada menerima dana daripada UKSB.

Semalam, Tan memberitahu mahkamah bahawa beliau menyimpan lejar bayaran yang dibuat kepada Zahid antara 2014 hingga 2018.

Katanya, nama dalam lejar itu terdiri daripada “menteri, ahli politik dan penjawat awam”.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh hari ini, Tan berkata, nama Muhyiddin, Shafie, bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican turut dicatatkan dalam lejar itu di bawah nama kod.

Comment