Kenderaan bertembung, pemandu maut dan 2 cedera
16:06 Jun 21, 2022  |  By SabahKini2
Kenderaan bertembung, pemandu maut dan 2 cedera

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta sedan dengan pacuan empat roda

LAHAD DATU: Seorang pemandu maut dan dua lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung di Kilometer 13 Jalan Segama, pagi tadi.   

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa berumur 28 tahun yang memandu kereta sedan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 pagi.

“Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta sedan dengan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, mangsa dan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun tersepit di dalam kenderaannya, namun berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Pemandu pacuan empat roda yang berumur 31 tahun turut mengalami kecederaan dan masih berada di dalam kenderaannya semasa ketibaan anggota bomba.

“Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan ambulan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Sumsoa berkata pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian bagi memastikan lokasi kejadian selamat untuk pengguna jalan raya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.02 pagi.

Comment