Hishammuddin pula nafi terima dana UKSB
10:06 Jun 23, 2022  |  By SabahKini2
 Hishammuddin pula nafi terima dana UKSB

Menurut Hishammuddin dia tidak mengetahui apa-apa pun berkaitan perkara yang disebut di mahkamah baru-baru ini. Beliau bersedia disiasat.

SELEPAS Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anifah Aman Reezal Merican, Khairy Jamaluddin dan kini giliran Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan pernah menerima sumbangan politik atau wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Hishammuddin berkata, beliau tidak mengetahui isu berkaitan dana tersebut dan sedia membantu siasatan pihak berkuasa berhubung perkara itu.

“Saya tidak mengetahui apa-apa pun berkaitan perkara yang disebut di mahkamah baru-baru ini.

“Sekiranya mereka (pihak berkuasa) ingin memanggil saya bagi melakukan siasatan, seperti kebiasaan sebelum ini – saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa,” katanya di Twitter.

UKSB merupakan syarikat yang terbabit dalam perbicaraan kes Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 13 Jun lalu, bekas pengurus UKSB David Tan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam perbicaraan kes rasuah itu bahawa syarikatnya memberi wang dengan mengaitkan beberapa pemimpin utama negara termasuk Hishammuddin.

Ahli politik lain yang turut dinamakan saksi dalam perbicaraan itu termasuk bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, bekas menteri luar, Anifah Aman, Presiden Warisan Shafie Apdal, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa agensi berkenaan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang daripada UKSB seperti disebut saksi perbicaraan kes berkenaan.

Sehari selepas didedahkan Muhyiddin pantas membuat penafian mengenai UKSB menggunakan alibi tarikh rawatan disusuli Anifah Aman.

Semua pemimpin dipetik nama mengambil jalan ‘tunggu dan lihat’ atas nasihat peguam masing-masing sehingga satu persatu pemimpin tiada pilihan untuk tampil membuat penafian menerima dana UKSB.

Setakat ini hanya Shafie Apdal tidak membuat penafian secara rasmi.

[ARTIKEL BERKAITAN- Terima wang UKSB, Shafie Apdal kata ‘tidak mahu komen’

 

 

Comment