Warisan hanya bergabung dengan parti politik yang menang PRU15- Shafie Apdal
16:06 Jun 27, 2022  |  By SabahKini2
Warisan hanya bergabung dengan parti politik yang menang PRU15- Shafie Apdal

Shafie kata dia tak mahu 'Langkah Sheraton' atau lompat sini sana. Warisan hanya akan bergabung dengan parti yang menang PRU15.

Warisan sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat negara ini, kata Presidennya Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata ini kerana pihak yang menang pada PRU15 merupakan parti pilihan rakyat, justeru Warisan menghormati keputusan tersebut dengan menjalin kerjasama menguntungkan kepada rakyat di peringkat Persekutuan dan juga Sabah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persefahaman yang dibentuk itu mestilah sebuah kerjasama pintar serta tidak berat sebelah dan paling penting, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Sama ada Barisan Nasional, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (menang PRU15), bila rakyat sudah buat keputusan, kita kena hormat… kita tidak boleh menafikan hak rakyat di negara ini tetapi saya tolak Langkah Sheraton, lompat sana lompat sini kerana itu bukan mandat yang diberikan rakyat.

“Selepas pilihan raya, rakyat putuskan…nakkan kestabilan politik tetapi mesti ada kerjasama pintar,” katanya menerusi sesi perkongsian secara langsung dalam talian di laman Facebook malam tadi.

Shafie menjawab soalan seorang peserta sesi itu yang ingin tahu sama ada Warisan mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan sekiranya gabungan politik itu memenangi PRU15 dalam sesi perkongsian bertajuk Gabungan dan Pakatan: Demi Rakyat atau Demi Poket.

Beliau turut menegaskan langkah Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung tidak akan mengganggu-gugat perjuangan asal parti itu untuk membela rakyat dan negeri Sabah.

“Kita mesti bergabung dengan seluruh Malaysia… presidennya (Warisan) dari Sabah tetapi isterinya orang Kedah.

“Kita sedang membina sebuah negara… sudah berpuluh tahun gabungan politik berpecah-pecah, mungkin perlukan angin dari timur (untuk satukan),” katanya.

Pada PRU14 Warisan yang tewas merampas kuasa pada 12 Mei 2018 selepas ‘membeli’ 6 adun BN untuk melompat dan menyokong Warisan walaupun pada masa itu Tan Sri Musa Aman sudah mengangkat sumpah Ketua Menteri pada 10 Mei 2018.

Perebutan kuasa itu menyebabkan krisis perlembagaan negeri sehingga kes itu di bawa ke mahkamah.

Pada julai 2020, 14 adun yang menyokong Warisan keluar parti menyokong Tan Sri Musa menyebabkan Shafie Apdal terpaksa membubarkan DUN Sabah untuk mengadakan Pilihanraya Negeri Sabah pada September 2020. Warisan tumbang dalam Pilihanraya negeri itu.

 

 

 

2 Comments