Menteri KPDNHEP bunuh industri penternakan ayam
18:06 Jun 27, 2022  |  By SabahKini2
Menteri KPDNHEP bunuh industri penternakan ayam

Menteri KPDNHEP tidak pernah turun padang memahami pemain industri penternakan ayam. Tiba-tiba mahu mengumumkan harga ladang yang lebih tinggi di Sarawak berbanding Semenanjung dan Sabah.

Penetapan harga siling baharu bagi tempoh julai – september yang bakal diumumkan dalam jangka masa terdekat pastinya dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

Jumlah harga yang dinanti oleh rakyat, baik pengguna mahupun pengusaha-pengusaha penternakan ayam pastinya akan menggemparkan Malaysia kerana sama ada harga itu akan boleh diterima rakyat, ataupun harga itu boleh diterima pemain industri

Dan pastinya rakyat tidak mahu menerima harga ayam yang tinggi, manakala pengusaha dan juga penternak ini tidak mahu rugi, jadi suatu titik pertemuan mesti dicapai sebelum memutuskan harga yang adil dapat diberikan kepada pengguna.

Melalui unjuran diperolehi, harga purata ayam haruslah dijual pada harga sekitar RM 10.50 – RM 11 ketika ini. Ini memandangkan kos bahan input  ladang mengalami kenaikan sangat ketara berbanding harga input dari bulan januari 2022.

Melalui semakan data-data dengan beberapa penternak ayam, harga input contohnya makanan ayam ,(ayam memerlukan 2 jenis makanan iaitu starter dan juga grower) ianya  mengalami kenaikan lebih dari 50 %  semenjak tahun lepas.

Begitu juga dengan harga anak ayam ( DOC) di mana kenaikan daripada RM 2.20 seekor menjadi 2.35 / ekor kerana ianya  turut dipengaruhi kenaikan harga makanan ayam.

Umum juga tahu bahawa bidang penternakan ini, merupakan antara kerja yang dikategorikan di dalam kategori 3D,( dangerous, dirty dan difficult) menyebakan sukar untuk menarik pekerja tempatan untuk menjalankan kerja ini.

Ini tidak termasuk kesukaran mendapatkan tenaga buruh mahir ekoran faktor pemulihan selepas covid-19 dan juga pengenaan gaji minimum RM 1,500 yang kini dikuatkuasakan  menyebabkan kos bagi mengambil pekerja mahir dan juga asing ini meningkat.

Sememangnya senario dunia menyaksikan bahan-bahan komoditi makanan ternakan ini mengalami trend kenaikan di pasaran dunia dari awal tahun sehingga kini dan kini ianya sedang menunjukkan tren penurunan, namun kesannya tidak akan dilihat serta merta kerana ianya membabitkan beberapa faktor tambahan yang lain.

 

Cara Menteri KPDNHEP Bunuh Industri Penternakan ayam

Menteri yang paling banyak mengadakan perjumpaan dengan penternak ayam dan industri ialah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Semua input pemain industri termasuk Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) diambil kira sebelum keputusan dibuat.

Menteri MAFI paling banyak turun padang bertemu pemain industri.
Harga siling ditentukan berdasarkan pertemuan semua pihak. Bukan duduk dalam bilik berhawa dingin..

Keputusan penetapan harga siling sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri juga mengarahkan keputusan itu dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bukan KPDNHEP.

Nanta Linggi tidak pernah turun padang di lapangan termasuk lawatan ke pusat penternakan ayam berlagak pandai mahu mengumumkan siling harga ayam baharu membelakangi input Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Hari ini tersebar maklumat harga siling baru daripada KPDNHEP yang jelas membunuh industri penternakan ayam. Pemain industri sangat tidak bersetuju dengan harga siling ini.

 

Data daripada Seksyen Harga dan Antipencatutan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP berkuatkuasa 1 Julai hingga 1 September 2022 itu kelihatan sangat mengarut dengan kos penternakan ayam sekarang.

Harga ladang dengan kos RM6.10 bagi Semenanjung Malaysia, Sabah RM6.30, Sarawak RM6.60 dan Wilayah Persekutuan Labuan RM6.70.

Apa asas Sarawak harga ladang RM6.60 itu? Apakah kerana Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berasal dari Sarawak maka harga siling mereka lebih tinggi berbanding Sabah dan Semenanjung? Kos logistik ke Sarawak lebih tinggi daripada Sabah ke? atau mungkin dedak Sarawak dan negeri lain tak sama?

Nampaknya Nanta Linggi melindungi dirinya daripada kritikan pemain industri Sarawak berbanding di negeri lain. Dia tak peduli pun isu di Semenanjung dan Sabah. Keutamaanya GPS Sarawak sahaja. 

Menteri KPDNHEP entah ke mana hanya beberapa pegawai KPDNHEP muncul sesekali di Melaka memeriksa ayam di ladang ekoran dakwaan kekurangan bekalan ayam di negeri itu. 

Cara mudah bekerja ialah menuduh kekurangan ayam di pasaran  sekitar mei lalu angkara perbuatan kartel! Akhirnya selepas diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sendiri  mengesahkan penutupan kilang pengeluar ayam di Jasin adalah disebabkan berat ternakan tidak mencapai berat matang untuk pasaran. Bukan kerana sabotaj!

Dan pengarah KPNHEP negeri berkata  proses timbang ayam telah dijalankan di ladang dan mendapati rata-rata berat ternakan hanyalah sekitar 1.1kg hingga 1.2 kg, sekali gus tidak menepati berat matang standard bagi pasaran iaitu 1.8 kg seekor.

KPDNHEP juga mengaitkan dengan persaingan mana-mana kartel ayam sehingga mahu mengheret kartel ke Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Mana dah pendakwaan kartel itu?

Hakikatnya Menteri KPDNHEP dan pegawainya  muncul untuk menguatkuasakan akta pencatutan tanpa mendapatkan penjelasan dan sumbang saran daripada pihak-pihak yang berkepentingan sebelum memutuskan harga siling ayam.

Jika harga ladang rendah merugikan penternak ayam tidak ada penternak ayam mahu mengusahakan perniagaan ini. Tidak masuk akal kos penternak RM6.80 tetapi harga ladang yang dikenakan ialah RM6.10!

Pemberian subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat pun tak akan mampu menutup kerugian penternak ayam.

Tuntutan subsidi ayam pula bukan mudah, tidak cepat sekalipun lebih RM500 juta subsidi bakal diberikan.

Apa akan jadi? Akhirnya mereka pasti akan mengurangkan jumlah penawaran ayam kerana tidak dapat beroperasi secara penuh dan apabila industri tidak dapat beroperasi pada skala ekonomi, maka penawaran pastinya akan menurun kerana pemain industri terpaksa meminimakan kos mereka untuk mengelakkan kerugian.

Kita berharap Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berjaya menyelesaikan secara menang-menang dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mengenai harga siling yang paling sesuai. Jika harga ladang RM7.00 ke atas dan dibantu dengan subsidi lebih daripada RM0.60 pasti boleh mengekalkan pengeluaran penternakan ayam. 

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diharap bekerjasama dengan Dr Ronald Kiandee serta Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia bukan menetapka harga syok sendiri tanpa berbincang dengan pemegang taruh. Yang beri subsidi ayam ialah MAFI bukan KPDNHEP. 

 

 

11 Comments