Jurutera Cerun JKR, wanita didakwa terima rasuah RM90,000
02:06 Jun 29, 2022  |  By SabahKini2
Jurutera Cerun JKR, wanita didakwa terima rasuah RM90,000

Mengikut pertuduhan pertama & kedua, mereka didakwa telah menerima secara rasuah satu suapan berjumlah RM90,000 daripada seorang individu untuk mencadangkan pelantikan Syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama

Seorang jurutera Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah cadangkan pelantikan syarikat sub kontraktor berjumlah RM90,000 dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu Izwan Mashuri, 39, dan Norsiah Mohd. Anuar, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa bersama-sama telah menerima secara rasuah satu suapan berjumlah RM90,000 daripada seorang individu untuk mencadangkan pelantikan Syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn. Bhd. bagi dua projek masing-masing berjumlah RM2,144,822 dan RM1,280,562.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta 694.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Izwan Mashuri yang dulu aktif. Namun kini....

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd. Azali Ibrahim mewakili Izwan dan Norsiah tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu.

Selepas mendengar permohonan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Izwan diikat jamin RM10,000 manakala Norsiah RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa sama, mahkamah turut menentapkan syarat tambahan dimana kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali serta passport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 8 ogos ini untuk sebutan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen dihadapan Hakim Suzana Husin, Izwan turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM130,000.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah secara rasuah meminta satu suapan iaitu tujuh peratus daripada nilai kerja-kerja Projek penyelenggaraan Cerun bagi Jalan persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia sebagai dorongan untuk mencadangkan pelantikan Syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn. Bhd. pada tahun 2019.

Sementara bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Izwan didakwa menerima rasuah sebanyak RM100,000 pada 2020 dan RM30,000 pada 2021 daripada individu sama bagi mencadangkan pelantikan Syarikat Lega Kiara Enterprise sebagai sub kontraktor kepada Pintas Utama Sdn. Bhd.

Mahkamah kemudian membenarkan Izwan diikat jamin RM25,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes

Note: Bilakah agaknya Juruter JKR Sabah di dakwa?
Comment