Datuk palsu 'Yusri Yusoh' tipu projek naik taraf jalan RM1.93 juta diburu polis
14:06 Jun 29, 2022  |  By SabahKini2
Datuk palsu 'Yusri Yusoh' tipu projek naik taraf jalan RM1.93 juta diburu polis

Semakan darjah kebesaran dan pingat di laman web Bahagian Istiadat tidak ada nama sepadan Datuk Yusri Yusoh. Nampaknya Datuk palsu itu telah menipu ramai pihak sehingga rugi RM1.9 juta

Tipu projek naik taraf jalan RM1.93 juta, ‘Datuk Yusri’ diburu polis

Polis Sabah memburu seorang lelaki dikenali sebagai “Datuk Yusri Yusuh” yang dipercayai terbabit lapan kes penipuan membabitkan projek menaik taraf jalan raya yang tidak wujud dengan anggaran kerugian mencecah RM1.93 juta.

Lelaki terbabit disyaki melakukan penipuan dengan mendakwa mampu mendapatkan kelulusan bagi projek naik taraf jalan di beberapa daerah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Idris Abdullah, berkata siasatan mendapati suspek memperkenalkan dirinya sebagai “Datuk Yusri” dan menawarkan projek naik taraf jalan di beberapa daerah di negeri ini.

“Bagi mendapatkan projek berkenaan, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan antara RM30,000 hingga RM650,000.

“Semua mangsa yang terpedaya kemudian membuat transaksi pembayaran deposit kepada suspek sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM1.93 juta,” katanya dalam kenyataan.



Idris berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes Tilmanshah Wasli ditalian 016 5785962 atau 088 529761 bagi membantu siasatan,” katanya.

Semakan darjah kebesaran dan pingat di laman web Bahagian Istiadat tidak ada nama sepadan Datuk Yusri Yusoh dan jelas beliau menggunakan gelaran palsu berurusan dengan pelbagai pihak.

Comment