Harga siling ayam RM9.40, Bos Mydin meroyan, FLFAM jamin bekalan ayam mencukupi
22:06 Jun 29, 2022  |  By SabahKini2
Harga siling ayam RM9.40, Bos Mydin meroyan, FLFAM jamin bekalan ayam mencukupi

Mydin sebelum ini mahukan harga siling RM9.90. Kini bila harga RM9.40 Mydin tetap meroyan hal bekalan. FLFAM jamin bekalan mencukupi dan tiada isu. Mydin boleh terus menari di Tiktok kalau-kalau dapat bekalan ayam mencukupi

Disebalik pengumuman kerajaan hari ini menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung, telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji) nampaknya taikun rangkaian pasar raya Mydin tidak bersetuju harga itu

Pengarah Urusan Pasaraya Besar Mydin Ameer Ali Mydin menyindir harga siling ayam yang baru diumumkan hari ini dan berkata, ia tidak membawa sebarang perbezaan memandangkan masalah dalam rantaian bekalan masih berlaku.

Menurut bos Mydin itu kerajaan mesti mengutamakan bekalan ayam di pasaran berbanding harga.

Mydin sebelum ini pernah menggesa kerajaan menaikan harga siling ayam standard kepada RM9.90 per kg bagi mengatasi kekurangan teruk bahan makanan itu di pasaran.

Untuk pengetahuan bos Mydin harga RM9.90 atau bawah RM10.00 ini adalah hasil pertemuan pemain industri penternakan ayam bersama dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Sekalipun banyak ramalan dan permintaan menaikkannya sehingga RM15.00 apatah lagi jika pasaran diapungkan.

Menurut Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Jeffrey Ng berkata, sebagai pengguna, beliau bersyukur kerana kerajaan menetapkan harga siling baharu.

“Saya amat menghargainya kerana ia jauh lebih berpatutan berbanding harga di negara lain seperti AS, di mana harga ayam adalah kira-kira USD3.50 (kira-kira RM15.40) sekilogram,” kata Ng

Harga ini adalah harga yang relevan oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) sekalipun kos peningkatan kos bahan makanan ayam dan kekurangan buruh berlaku.


Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) bertemu dengan Menteri MAFI
membincangkan penternakan dan bekalan ayam di negara ini

Harga siling RM8.90 per kg, yang dikuat kuasa bermula 5 Feb hingga 5 Jun tidak bersesuaian memandangkan kos harga ladang sekitar RM6.80 yang menyebabkan para penternak ayam beroperasi mengalami kerugian.

Secara logiknya tidak ada penternak ayam akan menternak ayam jika kos rugi berbanding pemborong dan peruncit yang menjual harga lebih tinggi.

Siling harga baru RM9.40 lebih berpatutan jika harga ladang sekitar RM6.80 disokong dengan pemberian subsidi 60 sen per Kg kerajaan. Harga kos ladang terkini mungkin telah menurun RM6.40 sekaligus memberi nafas kepada pengusaha penternak.

Janji penternak dan pembekal ayam

Janji Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) kepada kerajaan ialah membekalkan ayam mencukupi di pasaran. Malah mereka berusaha mengurangkan harga sehingga 50 sen perKg. Apabila bekalan ayam banyak dan mencukupi tidak timbul lagi pihak pemborong dan peruncit menaikkan harga pasaran melampau di pasaraya.

Dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin dekat, kerajaan, penternak dan pembekal ayam sudah  bersedia memastikan bekalan mencukupi dan harga tidak melepasi harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Oleh itu tidak timbul lagi isu syor Mydin untuk membenarkan kuasa pasaran mengambil alih, meningkatkan harga siling kepada RM9.90 per kilogram atau merayu bekalan mencukupi.

Sebelum ini  dilaporkan peniaga ayam menjual ayam melebihi daripada harga kawalan ditetapkan atas alasan mereka tidak mempunyai pilihan selepas pemborong mengenakan harga RM8.70 per kg. Harga borong adalah sekitar RM7.10.

Berita baiknya menurut sumber kerajaan menaikkan subsidi ayam RM1.20 berbanding 60 sen perKg. ia tentu melegakan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia.

Perbandingan Jun dan Julai

Jadi cakap-cakap Bos Mydin mahu harga siling RM9.90 adalah sangat mengarut untuk menyelamatkan dirinya yang diboikot oleh penternak ayam kerana kesombongannya.

Sebelum ini Mydin mendapat bekalan import dan sering memperlekeh Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia. Memandangkan harga ayam import ini meningkat naik Mydin terpaksa berhadapan kos tinggi untuk mendapatkan bekalan ayam.

Hari ini Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia mempunyai kelebihan menentukan harga ladang dan siling ayam standard kerana hubungan baik mereka dengan kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)

Bos Mydin bolehlah menari-nari di Tiktok sambil menyindir pemain industri lain. Mana tahu dengan tarian itu  Mydin mendapat bekalan ayam lebih murah daripada penternak dalam negara.

 

Comment