Arshad Presiden PPRS ditahan sindiket kad palsu warga asing
18:06 Jun 30, 2022  |  By SabahKini2
Arshad Presiden PPRS ditahan sindiket kad palsu warga asing

Mohd Arshad Abdul Mualap Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang berada di Semenanjung rupanya dalang kad palsu warga asing. Beliau menjual kad itu dengan harga RM400 hingga RM1,000. Hasil untuk membiaya partinya?

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Mohd Arshad Abdul Mualap dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan 'kad kebal' kepada warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Penggunaan 'kad kebal' itu dibongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menahan Mohd Arshad, 48, serta seorang lagi individu, Mohamad Amkah Ahmad, 46, di Subang Jaya pada 22 Jun lalu.

.

Kad perlindungan itu dijual dengan harga RM400 hingga RM1,000 kepada mana-mana warga asing.

Sindiket itu yang beroperasi sejak awal tahun ini, akan mengeluarkan kad yang mempunyai kod imbasan QR berserta maklumat dan data serta borang permohonan kewarganegaraan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang media hari ini berkata, sindiket menjanjikan kepada mangsa bahawa pemilik kad akan menerima kelebihan seperti pendidikan dan perubatan sama seperti warganegara.

"Kedua-dua suspek ini sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Hamzah berkata, orang ramai terutama warga asing diingatkan bahawa hanya terdapat empat kad pengenalan yang sah dikeluarkan di negara ini.

"Untuk menjadi penduduk di negara ini kita ada empat kad pengenalan, pertama kad pengenalan berwarna biru yang diberikan kepada warganegara Malaysia.

"Yang kedua kad pengenalan berwarna merah diberikan kepada penduduk tetap, ketiga kad pengenalan berwarna hijau bagi pemastautin sementara berstatus bukan warganegara dan keempat adalah kad pengenalan berwarna coklat untuk mereka yang melakukan kesalahan besar," katanya.

Setakat hari ini, sebanyak 400 kad pengenalan palsu telah diberikan kepada warganegara asing berdasarkan kepada borang permohonan yang dirampas pihak polis.

Hamzah juga menegaskan kerajaan tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak mengeluarkan kad pengenalan melalui sindiket termasuk di Sabah dan Semenanjung.

Mohd Arshad Abdul Mualap mengetuai Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) bertanding di 25 kerusi Dun dalam PRN Sabah 2020 namun tewas disemua kerusi.

Mohd Arshad bermastautin di Kuala Lumpur dan tidak tinggal di Sabah. Modus operandinya ialah pemberian kad palsu warga asing sebagaimana kes Syarikat Mega Management Consultancy Sdn Bhd dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad dokumentasi kepada warga asing sebagaimana yang disokong Azis Jamman ketika itu.

Aktivitinya dikatakan digunakan untuk membiayai gerakan partinya di Sabah.

 

 

15 Comments