Kerajaan sedia RM1b subsidi tambahan - Menteri Kewangan
01:07 Jul 01, 2022  |  By SabahKini2
Kerajaan sedia RM1b  subsidi tambahan - Menteri Kewangan

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah itu termasuk peruntukan subsidi 2022 yang telah ditambah sebanyak RM370 juta bagi bulan Julai dan Ogos, menjadikan unjuran perbelanjaan subsidi bagi tahun ini sebanyak RM77.7 bilion.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan RM1 bilion untuk membantu rakyat iaitu subsidi tambahan ayam dan telur untuk dua bulan iaitu Julai dan Ogos 2022 serta bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta yang telah dibayar kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia mulai 27 Jun lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah itu termasuk peruntukan subsidi 2022 yang telah ditambah sebanyak RM370 juta bagi bulan Julai dan Ogos, menjadikan unjuran perbelanjaan subsidi bagi tahun ini sebanyak RM77.7 bilion.

Katanya, bagi tempoh lima bulan antara Februari hingga Jun 2022, kerajaan telah menyediakan peruntukan sekitar RM730 juta untuk menampung subsidi harga ayam dan telur.

”Hakikatnya, kerajaan sentiasa meningkatkan bantuan dan subsidi kepada rakyat untuk membantu menangani cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, harga ayam di Malaysia adalah paling rendah dalam kalangan rantau ASEAN berbanding Thailand (RM11.65/kg), Indonesia (RM12.44), Brunei (RM14.65), Singapura (RM24.25), Filipina (RM16.59) dan Vietnam (RM23.09 bagi 1.2kg hingga 1.4kg).

Tekanan inflasi pada tahun 2022 merupakan fenomena global yang mana harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong sejak hujung Mac 2022.

Berserta dengan gangguan rantaian bekalan dunia yang telah menjejaskan bekalan baja dan makanan ternakan, fenomena ini telah meningkatkan harga makanan dengan mendadak.

”Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global. Ini bermakna, kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya,” jelas beliau.

Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom mencecah 9%, manakala Thailand adalah 7% dan Singapura dan Filipina melebihi 5%.

Berdasarkan simulasi oleh Jabatan Perangkaan Negara, tanpa sebarang subsidi kerajaan, kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mei 2022 boleh mencecah sehingga 11.4%, namun dasar subsidi telah membantu membendung inflasi di Malaysia pada tahap 2.8%.

Namun, kerajaan akan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai bagi melindungi rakyat daripada beban kenaikan kos sara hidup. -MG

 

Comment