Bekalan ayam mencukupi, FLFAM rayu kerajaan tamatkan larangan eksport ayam
22:07 Jul 02, 2022  |  By SabahKini2
Bekalan ayam mencukupi, FLFAM rayu kerajaan tamatkan larangan eksport ayam

FLFAM beri jaminan kepada kerajaan bahawa ladang akan mematuhi harga-ladang yang diumumkan di bawah harga siling maksimum yang ditentukan oleh kerajaan.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) meminta kerajaan supaya menamatkan larangan pengeksportan ayam bulat yang dikuatkuasakan sebelum ini.

FLFAM dalam satu kenyataan berkata, terdapat ladang eksport yang telah melaburkan kos yang tinggi untuk memenuhi keperluan semasa negara pengimport.

Disebabkan itu katanya, produk dari ladang eksport hanya dapat dikekalkan dengan harga produk yang lebih tinggi melebihi tahap subsidi.

“Ladang berorientasikan eksport ini juga menggunakan buruh yang dilatih untuk beroperasi di bawah prosedur ketat ladang tersebut.

“Jika eksport dihentikan ladang-ladang itu tidak akan dapat mengekalkan pengeluaran kos tinggi mereka di bawah situasi kawalan harga semasa.

“Kesan kawalan ke atas ladang eksport ialah kerugian dalam pelaburan mereka dan kehilangan pekerjaan oleh pekerja mereka yang terlatih,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menghentikan eksport 3.6 juta ayam selama sebulan bermula 1 Jun lalu.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan berkenaan.

PELAKSANAAN PENENTUAN HARGA MAKSIMUM AYAM DAN TELUR AYAM BERMULA
1 JULAI 2022 HINGGA 31 OGOS 2022

Menurut FLFAM, industri pengeluaran ayam dan telur komited untuk mengekalkan komitmen bagi melihat ekonomi negara terus pulih meskipun berada dalam keadaan yang sukar.

Ujarnya, industri berbangga kerana dapat mengekalkan harga terendah untuk produk ayam di rantau ASEAN.

Tambahnya, pengekalan sekuriti makanan adalah salah satu penyumbang terpenting kepada negara di mana industri ayam dan telur merupakan produk yang murah untuk dibeli.

“Pengeluaran yang melebihi tahap kemampuan akan menyumbang kepada penukaran wang asing selain eksport yang berkualiti,” katanya.

 

Comment