PATI terkandas sehingga 30 Jun dihantar pulang dilarang masuk Malaysia seumur hidup
23:07 Jul 02, 2022  |  By SabahKini2
PATI terkandas sehingga 30 Jun dihantar pulang dilarang masuk Malaysia  seumur hidup

Program Rekalibrasi Pulang sudah dimulakan sejak November 2020 oleh itu sehingga tarikh tutup 30 jun 2022 di saat-saat akhir tiada alasan kononnya kaunter dibuka sedikit untuk memproses jumlah migran yang ramai menyebabkan ramai terlepas penerbangan.

Pendatang yang gagal meninggalkan Malaysia bawah Program Rekalibrasi Pulang berakhir bulan lalu, akan dihantar ke negara asal dan dilarang memasuki negara seumur hidup, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Ini berikutan, terdapat laporan bahawa ramai pendatang menyerbu KLIA dan Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru, dengan harapan dapat meninggalkan negara sebelum tarikh akhir program itu pada 30 Jun.

Sebilangan besar dilaporkan terkandas selepas gagal menaiki penerbangan atau feri masing-masing.

Khairul berkata, mereka yang gagal pulang ke negara asal akan ditahan di depot imigresen sebelum dihantar pulang.

“Mereka akan ditahan di depot imigresen sebelum dihantar pulang. Mereka akan dihalang daripada memasuki Malaysia seumur hidup,” katanya

Pada 25 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, seramai 243,297 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 282,561 yang berdaftar dihantar pulang secara sukarela menerusi Program Rekalibrasi Pulang.

Katanya, sebaik program itu tamat, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pesalah.

Bawah program yang bermula November 2020, PATI dibenarkan pulang ke negara asal mereka selepas memenuhi beberapa kriteria.

Duta Besar Indonesia Hermono berkata, beliau menerima berita mengenai ramai pendatang terlepas penerbangan namun tidak mengetahui jumlah sebenar.

“Pendatang di Johor terpaksa menunggu lebih tiga hari untuk membayar denda kompaun sebelum mereka mendapat pelepasan untuk berlepas.

“Kami belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Imigresen berhubung apa yang akan berlaku kepada mereka yang gagal keluar dari negara itu,” katanya.

Program Rekalibrasi Pulang sudah dimulakan sejak November 2020 oleh itu sehingga tarikh tutup 30 jun 2022 di saat-saat akhir tiada alasan kononnya kaunter dibuka sedikit  untuk memproses jumlah migran yang ramai menyebabkan ramai terlepas penerbangan.

 

 

Comment